SEBERANG PERAI – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berharap kerajaan tidak lagi mengeluarkan permit import (AP) bagi gula bertapis untuk dijual di pasaran tempatan, susulan kapasiti pengeluaran dalam negara melebihi keperluan.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Malaysia menggunakan kira-kira 1.8 juta tan gula setahun sekali gus pengeluaran tempatan sudah mampu menampung jumlah itu tanpa perlu bergantung pada kemasukan gula import.
Katanya, kira-kira 60,000 hingga 70,000 tan gula bertapis luar masuk ke Malaysia setiap tahun, dan keadaan itu boleh menjejaskan operasi kilang gula tempatan sekiranya dibiarkan berterusan.
“MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) sebagai pengeluar utama gula bertapis negara sudah cukup memenuhi permintaan. Apabila ada lebihan pengeluaran, tiada sebab kita perlu memberi permit import kepada pihak luar untuk menjual di sini.

“Negara-negara jiran seperti Vietnam, Filipina, Thailand dan Indonesia menjual gula antara RM5 hingga RM8 sekilogram tetapi kenapa gula mereka boleh dijual di Malaysia pada harga RM2.85 sama dengan harga kawalan tempatan. Itu jelas menunjukkan amalan dumping (pembuangan).
“Kalau kapasiti tempatan sudah mencukupi, mengapa perlu benarkan kemasukan gula bertapis dari luar yang tidak menanggung kos kilang, pekerja dan penyelenggaraan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kilang MSM, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihaknya juga sudah kemukakan isu ini kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk diteliti.
“Bagi kami, isu utama bukan cukai, tetapi keperluan import itu sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette















