KUALA LUMPUR – Masjid dan surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) disaran untuk mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat Sabah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang menzahirkan ucapan takziah berikutan musibah tersebut berharap seluruh negeri tersebut segera pulih daripada ujian besar yang sedang melanda.
“Saya telah mengarahkan masjid-masjid dan surau-surau di bawah pentadbiran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengadakan Solat Hajat bagi mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat di negeri Sabah,” katanya menerusi hantaran i laman Facbook, hari ini.
Menurut Mohd a’im, seluruh agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan turun ke lapangan membantu agensi-agensi pusat dan negeri bagi menyantuni mangsa yang terlibat.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jakim, Datuk Sirajuddin Sujaimee berkata, tiga buah masjid utama Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin akan mengadakan solat hajat pada hari ini selepas solat fardu Maghrib.
Tambah beliau, pihaknya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT dengan penuh pengharapan, semoga keadaan di Sabah segera pulih seperti sediakala dengan segala urusan mangsa bencana dipermudahkan dan rakyat Sabah khususnya serta seluruh rakyat Malaysia sentiasa dalam rahmat serta perlindungan Allah SWT. – MalaysiaGazette















