KUALA LUMPUR – Tiga individu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Selangor hari ini atas pertuduhan menjalankan urus niaga minyak diesel bersubsidi secara tidak sah berjumlah 1.24 juta liter pada tahun lalu.
Bagaimanapun, kesemua tertuduh berusia lingkungan bawah 50-an mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Mengikut pertuduhan, mereka selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa terlibat aktiviti urus niaga minyak diesel bersubsidi nelayan secara tidak mematuhi di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 di sekitar Bagan Sekinchan, Kuala Selangor.
Selain itu, dua daripada mereka didakwa atas pertuduhan menjalan urus niaga tanpa lesen borong membabitkan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel.
Mereka didakwa melanggar Subperaturan 3(1) Pertauran-Peratura Kawalan 1974 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Subperaturan 21(1) Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) dan (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pada masa yang sama, seorang lagi OKS didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah iaitu berurusan dengan minyak diesel tersebut secara runcit atau borong tanpa lesen.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) serta (2) akta yang sama dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim dan mahkamah membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin berjumlah RM20,000.
Bagaimanapun, dalam prosiding sama seorang lagi OKS gagal hadir dalam sebutan status serahan saman.
Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Hanizam Kechek, pihaknya komited mempergiatkan penguatkuasaan sehingga pelaku dituduh di mahkamah.
“Ia melibatkan aktiviti jenayah perdagangan yang memberi kerugian kepada perbelanjaan subsidi negara dan perlindungan terhadap penggunaan subsidi negara merupakan kepentingan awam yang diselia secara rapi,” jelasnya.
Sebelum ini, KPDN Selangor bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah melakukan serbuan ke atas aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah premis tidak berdaftar sekitar Bagan Sekinchan.
Serbuan dibuat hasil laporan awal melibatkan stor haram yang digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi nelayan. – MalaysiaGazette
















