KUANTAN – Punca sebenar kemalangan jet pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Malaysia (TUDM) pada 21 Ogos lepas adalah kerana burung masuk dalam enjin kiri pesawat berkenaan ketika berlepas di Pangkalan Udara Kuantan, di sini.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, Lembaga Siasatan mengenalpasti ia berpunca daripada burung spesis Bangau Paya ‘Purple Heron’ yang terbang di landasan itu ketika kejadian.
“Penemuan ini adalah berdasarkan analisa rakaman video cctv, analisa data daripada ‘deployable flight incident recorder system’ yang ada pada pesawat F/A-18D Hornet yang dibantu oleh US Navy, data technical serta analisa yang diperoleh daripada Jabatan Kimia Malaysia, STRIDE, PDRM dan PERHILITAN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di Pangkalan Udara Kuantan, di sini hari ini.
Tambahnya, Lembaga Siasatan turut mengenalpasti kemalangan itu berlaku ketika pesawat itu telah berlepas dengan kelajuan 146 batu nautika dengan ketinggian hampir 10 meter yang menyebabkan kedua-anak kapal terpaksa melompat keluar daripada pesawat pada ketinggian kira-kira 50 meter dari paras landasan.
“Saya merasa yakin bahawa (siasatan) tiada yang boleh menjurus kepada (isu) teknikal, dan lebih kepada kejadian yang tidak dapat dielakkan, kemasukan burung yang agak besar ke dalam enjin pesawat sewaktu pesawat hendak berlepas pada malam tersebut,” katanya lagi.
Susulan keputusan awal itu, beliau memaklumkan penarikan balik pengoperasian pesawat tempur F/A-18D Hornet dan ujian penerbangan pertama pesawat telah dibuat hari ini.
Ditanya mengenai status dua anak kapal terbabit dalam insiden itu, Muhamad Nurazlan berkata juruterbang, Mejar Azhar Alang Kamarudin, 34 dan Jurusensor Senjata, Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28 kini masih dalam proses pemulihan.
“Kedua-dua mereka dijangka mula bertugas semula pada 2 Oktober ini,” katanya lagi.
Tambah Muhamad Norazlan, ini merupakan pertama kali kejadian membabitkan pesawat F/A-18D bertembung burung yang mengakibatkan pesawat itu terhempas. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Lembaga siasatan peroleh perakam data, video pesawat F/A-18d Hornet terhempas – PTU
















