KULAI – Seorang remaja maut manakala tiga lagi rakannya cedera dalam nahas enam kenderaan berpunca daripada seekor lembu melintas di Kilometer 4, Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kemalangan berlaku pukul 1.05 pagi melibatkan empat motosikal jenis Yamaha 135LC, sebuah kereta Perodua Bezza serta sebuah lori Hino.
“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang wanita tempatan berusia 26 tahun hilang kawalan selepas melanggar seekor lembu yang tiba-tiba melintas jalan.
“Akibat pelanggaran itu, kereta terbabit terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal ditunggang remaja lelaki berusia 19 tahun serta sebuah lori dipandu lelaki berusia 44 tahun.
“Kemudian, tiga lagi motosikal yang ditunggang tiga remaja lelaki berusia 15 hingga 19 tahun datang dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar bahagian tepi dan belakang lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seng Lee berkata, seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun yang parah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan lembu dewasa tersebut juga mati di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim 017-757 3507.
Tambahnya, mereka juga boleh hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.- MalaysiaGazette
















