KUALA LUMPUR – Seramai 54 tukang urut warga asing dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu operasi khas di tiga premis pusat urut dan refleksologi di sekitar Johor Bharu, Johor semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut mehahan tiga lelaki tempatan dipercayai sebagai penjaga premis.
“Hasil pemeriksaan, seramai 115 orang di dalam premis telah diperiksa dengan 54 pekerja warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan yang kesemuanya berusia lingkungan 19 hingga 59 tahun,” katanya dalam kenyataan.
Mereka terdiri daripada lima lelaki Myanmar, (2) lelaki Bangladesh, dan masing-masing seorang lelaki Indonesia, serta China, turut ditahan (32) wanita Thailand, (8) wanita China, dan masing-masing seorang wanita Myanmar, Vietnam serta Laos.

Tambah Zakaria, operasi itu dilaksanakan hasil maklumat dan risikan melibatkan 47 pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasa Putrajaya dan Johor bermula sekitar pukul 6 petang.
“Selain menawarkan khidmat urutan dan refleksologi, pemeriksaan lanjut salah sebuah premis itu turut menyediakan bilik sauna dengan bayaran sekitar RM92 sehingga RM180 berdasarkan pakej yang ditawarkan,” jelasnya.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.
“Kita juga mengeluarkan sebanyak 15 Borang 29 iaitu Saman Kepada Saksi sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
“JIM juga merakamkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan bersama-sama mengambil berat terhadap isu warga asing di negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















