KUALA LUMPUR – Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah jelas memperlihatkan keprihatinan baginda terhadap keresahan serta suara hati rakyat berkaitan isu yang melingkari perihal pembangunan Kampung Baru terutama dalam konteks kelangsungan dan maruah orang Melayu.
Demikian kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ujarnya, ia juga merupakan pendirian disuarakan Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
“Yang mana kami telah suarakan secara tegas bahawa sebarang pembangunan di Kampung Baru harus mengambil kira kepentingan dan mengekalkan demografi asal penduduk di sana,” katanya menerusi kenyataan.
Kenyataan tersebut susulan titah Sultan Sharafuddin hari ini bahawa baginda tiada halangan sekiranya kawasan Kampung Baru hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
Baginda bertitah agar semua pihak berkaitan mengenai hal ini mempertimbangkan pelbagai aspek secara terperinci termasuk perihal mengenai sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampung Baru yang perlu harus diambil kira.
Terdahulu, Hamzah menjunjung kasih atas titah yang menegaskan sebarang keputusan atau usaha pembangunan di Kampung Baru mesti mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan jangka masa panjang.- MalaysiaGazette
















