Jimmy Puah Wee Tse

JOHOR BAHRU – Kepimpinan tertinggi Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) digesa memberi penjelasan tentang ke mana perginya wang ganjaran yang sepatutnya diterima atlet memenangi pingat emas tetapi didakwa masih tidak diterima sehingga kini.

Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ia susulan pendedahan jaguh badminton paralimpik negara, Cheah Liek Hou baru-baru ini bahawa selepas menang pingat emas di Sukan Paralimpik Paris, ganjaran kewangan penuh yang dijanjikan kepadanya telah ditangguh dan dipotong.

“Lebih mengejutkan MPM bukan sahaja tidak mengambil sebarang tindakan segera malah terburu-buru menganjurkan satu majlis penyampaian hadiah yang langsung tidak diselaraskan.

“Tindakan ini tidak menunjukkan penghormatan dengan tiada kehadiran penerima. Satu majlis kosong yang seolah-olah hanya bertujuan menutup kelemahan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jimmy mendakwa sikap sambil lewa dan tindakan melepaskan tanggungjawab secara terang-terangan itu amat menjijikkan.

Tingkah laku MPM bukan sahaja mencerminkan kegagalan pentadbiran malah merupakan kemerosotan nilai moral.

“Apabila seorang atlet paralimpik yang membawa nama negara di pentas dunia terpaksa menggunakan media sosial untuk memperjuangkan haknya dan mendapatkan perhatian masyarakat, ia jelas menunjukkan integriti dan sistem pengurusan dalam organisasi sukan kita telah runtuh,” dakwanya.

Sebuah organisasi sukan yang berfungsi dengan betul tegasnya, tidak sepatutnya menunggu tekanan awam sebelum ‘berlakon’ mengadakan majlis penyampaian hadiah.

Lebih tidak wajar apabila mereka dengan mudah menyalahkan penaja menarik diri sebagai alasan memotong ganjaran atlet.

“Harus ditekankan, ini bukan isu kewangan, tetapi isu nilai dan bukan kekurangan dana tetapi kekurangan penghormatan.

Wee Tse berkata, MPM ialah sebuah organisasi sukan berdaftar yang bebas dan tidak berada di bawah naungan terus kerajaan atau Kementerian Belia dan Sukan.

Namun dalam mengendalikan sumber awam dan urusan atlet negara, MPM telah menunjukkan kegagalan tadbir urus yang sangat serius, dakwanya.

Sebagai badan bebas MPM seharusnya menjana dana sendiri dan bertanggungjawab ke atas operasi.

“Tetapi apabila berlaku kegagalan dalam pengurusan, atlet pula yang menjadi mangsa. Ini bukan sahaja tidak adil malah menghina semangat kesukanan negara.

“Saya menggesa kepimpinan tertinggi MPM untuk tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada atlet dan rakyat Malaysia serta memberi penjelasan penuh tentang ke mana perginya wang ganjaran dan bagaimana keputusan dibuat.

“Mana-mana pihak yang cuba memanipulasi, menutup kelemahan atau mengalihkan tumpuan hakikatnya terlibat dalam penghinaan kolektif terhadap wira negara kita,” katanya.

Lebih-lebih lagi, kata Wee Tse, cubaan mempolitikkan isu itu dan menyalahkan kerajaan adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau menjelaskan, ia kerana kerajaan Persekutuan telah menyalurkan sepenuhnya ganjaran kepada pemenang sebaik sahaja temasya berakhir.

Masalah itu jelas berpunca daripada sebuah badan bebas yang kurang integriti dan pengawasan, katanya.

“Sebuah institusi yang gagal menghormati keringat dan pengorbanan atlet, tidak layak untuk terus mengurus urusan berkaitan wakil negara,” katanya.

Sekiranya MPM tidak mampu melakukan reformasi dan memperbaiki kelemahan mereka dalam masa terdekat, beliau berkata, rakyat mempunyai hak untuk menuntut kepimpinan mereka meletak jawatan dan memberi laluan kepada yang benar-benar berwibawa dan berjiwa besar untuk memulihkan keadaan.

“Atlet paralimpik bukan kumpulan pinggiran. Mereka juga bukan golongan yang hanya perlu dipuji sekadar syarat. Mereka adalah kebanggaan negara dan lambang semangat Malaysia yang sebenar.

“Mereka layak mendapat penghormatan tertinggi bukan kekecewaan terdalam. Sukan bukan sekadar menang atau kalah di gelanggang. Ia adalah cermin kepada sistem dan nilai negara. Kita tidak boleh biarkan cermin ini pecah dan lebih-lebih lagi tidak boleh biarkan atlet memikul serpihan kaca itu sendirian,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast