KUALA LUMPUR – Sebanyak 12 kes kesalahan elektrik dan gas berpaip dihadapkan ke mahkamah tahun ini dengan jumlah denda terkumpul lebih RM200,000.
Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata, ia adalah hasil komitmennya dalam menguatkuasakan tindakan undang-undang di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Akta Bekalan Gas 1993 (Akta 501).
Katanya, kes terkini yang dibawa ke mahkamah adalah melibatkan tiga buah syarikat atas kesalahan mencuri elektrik di bawah subseksyen 37(3)(e) Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447].
Ia melibatkan LB Gases Hardware Sdn. Bhd., yang mana pada 26 Ogos lalu Mahkamah Sesyen Labuan telah menjatuhkan hukuman denda RM50,000 ke atas syarikat tersebut dan jika gagal ia boleh dipenjara selama lima bulan.
Manakala pada 27 Ogos lalu Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM55,000.00 ke atas Sri Mas Foods Industries Sdn. Bhd., jika gagal bayar waran levi dikeluarkan; dan pada 27 Ogos Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pula menjatuhkan hukuman denda RM50,000.00 ke atas Kim Kian Enterprise, jika gagal bayar waran levi dikeluarkan.
Menurut ST, kesemua syarikat tersebut telah membayar denda yang dikenakan.
“Sebagai badan kawal selia sektor tenaga negara, ST sentiasa menguatkuasakan peruntukan undang-undang pembekalan tenaga.
“Hebahan kes-kes pendakwaan ini adalah penting sebagai pengajaran kepada semua pihak untuk tidak melakukan sebarang kesalahan yang melibatkan elektrik dan gas berpaip, termasuk kecurian elektrik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kes -kes lain yang telah dihadapkan ke mahkamah sebelum ini melibatkan kesalahan menjalankan pengubahsuaian pepasangan tanpa kebenaran sehingga mengakibatkan kematian; menyimpan kelengkapan elektrik yang tidak berlabel dengan niat untuk menjual; dan menjalankan aktiviti penggunaan gas tanpa lesen.
Melanggar syarat lesen kerana gagal membayar fi; dan memberikan maklumat palsu bagi tujuan pendaftaran orang kompeten. -MalaysiaGazette















