Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel. Foto SADIQ SANI, 18 OGOS 2025

PUTRAJAYA – Kes amang seksual melibatkan seorang remaja perempuan yang sedang dihadapi penyanyi Naim Daniel tidak menghalangnya untuk meneruskan karya-karya seninya dalam industri muzik.

Naim Daniel atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, berkata, dia sedang menyiapkan lagu baharu dan ia bakal dilancarkan selewat-lewatnya hujung September ini.

“Buat masa ini, Naim tengah siapkan lagu baharu, sebab nak lancar selewat-lewat hujung bulan ini Insya-Allah, sedang dalam proses rakaman sedikit lagi.

“Naim sendiri mengasingkan diri untuk fokus kepada penulisan (lirik) sebab Naim percaya perkara terbaik masih menulis.

“Ini kerana ia masih tanggungjawab Naim sebagai pekerja seni,” katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Terdahulu Naim Daniel yang mengenakan pakaian serba hitam hadir ke Mahkamah Sesyen di sini kira-kira jam 6 pagi untuk sebutan pertuduhan kes amang seksual melibatkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel, Mei lalu.

Turut hadir barisan peguam yang mewakilinya, iaitu Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, Mohd Irwan Sumadi dan Datuk Amirul Ridzuan Hanif.

Selain itu, Naim Daniel berasa terharu kerana peminat-peminatnya masih memberikan sokongan kepada karier dan hasil seninya walaupun dirinya sedang diuji dengan kes tersebut.

“Naim percaya sebenarnya ini merupakan satu rezeki yang tidak disangka-sangka.

“Naim sentiasa mendoakan agar semua orang masih lagi mendengar atau memberi sokongan.

“Semoga mereka (peminat) dikurniakan kebaikan untuk semua orang dan khususnya pasukan media sebab sudi melaporkan yang baik tentang saya.

“Kali ini Naim betul-betul nak fokus kepada kerja dan hanya nak maju ke depan dengan sebaik mungkin Insya-Allah,” katanya.

Ditanya tentang pengurusan tekanan susulan kelihatan tenang sepanjang prosiding mahkamah, Naim Daniel mengakui dia perlu kekal “fit” dan sentiasa melakukan senaman.

“Alhamdulillah Naim cuma nak pastikan dikelilingi orang tersayang, keluarga dan rakan-rakan Naim.

“Naim kena “fit” sebab kalau Naim sendiri tak sihat, macam mana kita nak jalani hari dengan baik, kena pastikan tidur cukup, fokus dan juga kekalkan berinspirasi untuk buat lagu lagi,” katanya.

Katanya lagi, dia percaya prosiding yang sedang dihadapinya salah satu perkara yang boleh mematangkan dirinya dalam industri muzik.

“Ia bukan perjalanan yang mudah, sudah tentu banyak perkara, Naim percaya ini merupakan satu cara untuk Naim menjadi lebih matang pada masa depan, apa pun hidup kena teruskan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast