Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Perasmian Global Halal Summit 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh peranan dan kedudukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mematuhi standard halal dalam pasaran global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika negara memiliki hampir 10,000 syarikat yang mana lebih 80 peratus membabitkan PKS yang sudah diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berdasarkan pematuhan terhadap standard halal yang menyeluruh.

Beliau menegaskan halal bukan sekadar label tetapi adalah simbol kepercayaan antarabangsa dan Malaysia sentiasa menampilkannya sebagai model ekonomi sejagat yang akan menjadi sebahagian daripada perbincangan dua hala di seluruh dunia.

“Halal adalah simbol antarabangsa yang berteraskan kepercayaan, didasari integriti, kebertanggungjawaban serta nilai yang dapat diterima oleh semua lapisan agama dan pasaran

“Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 10,000 syarikat di mana 80 peratus adalah PKS yang disahkan halal JAKIM.

“Menjelang 2030, kita menjangkakan produk dan perkhidmatan halal pula dijangka mencecah RM18 bilion,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (tiga kiri), Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (dua kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar (dua kiri) ketika merasmikan Majlis Perasmian Global Halal Summit 2025 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 19 SEPTEMBER 2025.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mengulas lanjut, Anwar menambah, industri halal kini telah berkembang menjadi sektor dengan potensi besar dalam perdagangan yang menghubungkan semua negara.

Katanya, kekuatan Malaysia turut disokong oleh kepimpinan negara dalam pensijilan halal yang kini diiktiraf di hampir 50 negara dengan kerjasama 80 badan akreditasi dari 45 negara.

“Malah pasaran halal bukan hanya tertumpu kepada dunia Islam tetapi turut meliputi pasaran global termasuk China, United Kingdom dan Brazil.

“Perkara ini menyerlahkan keupayaan Malaysia dalam menetapkan standard antarabangsa bagi industri halal,” katanya.

Anwar turut memberitahu, kerajaan juga telah menetapkan sasaran berani di bawah Rangka Tindakan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) dan Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dengan matlamat agar sektor halal dapat menyumbang sebanyak RM231 bilion atau 10.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Ketika ini, pasaran halal global dianggarkan bernilai RM16.02 trilion dan dijangka meningkat kepada RM22.88 trilion menjelang 2030.

Sementara itu, GHaS menjadi medan penting yang menonjolkan peranan Malaysia serta perkembangan pesat ekonomi halal di peringkat antarabangsa.

Dengan penyertaan hampir 50 buah negara dan pelbagai badan pensijilan halal antarabangsa, sidang ini membuktikan bahawa industri halal kini diktiraf sebagai piawaian global juga menjadi rujukan universal yang diiktiraf di seluruh dunia.

Mengangkat tema ‘Integrity, Sustainability, Resilience’, GHaS 2025 membuka hala tuju baharu kepada pasaran halal dunia.

Sidang kemuncak itu juga bukan sahaja menjadi platform membina ekosistem halal yang diyakini, berinovasi, serta mampu menghadapi cabaran ekonomi global yang kian dinamik.

Seiring dengan itu, GHaS terus menjadi wadah utama dalam memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju dan rujukan halal dunia.

Malaysia telah diiktiraf sebagai peneraju halal global selama 11 tahun berturut-turut sebagaimana yang dinyatakan melalui Laporan Global Islamic Economy (GIE) 2024, sekali gus membuktikan keupayaan negara dalam memacu pembangunan industri halal di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast