Konsert Exists Premium Live @ PJ ditunda ke 20 Disember depan.

KUALA LUMPUR – Konsert Exists Premium Live @ PJ yang dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober ini ditunda ke 20 Disember depan.

Penganjur, JioBuddy berkata, pihaknya dan Exists sepakat dengan keputusan itu dan ia dibuat bagi memastikan konsert yang dibawakan benar-benar menepati konsep premium dan eksklusif, sesuai dengan judulnya.

Mereka juga tidak bimbang mengenai penundaan tarikh kerana percaya dengan piawaian Exists yang telah melahirkan banyak karya malar segar karya yang telah dicipta sejak akhir tahun 1991.

“Dengan rendah hati kami di JioBuddy mengumumkan Exists Premium Live @ PJ ditunda ke 20 Disember di lokasi dan waktu yang sama. Penundaan ini adalah kesepakatan bersama Exists.

“Konsert ini benar-benar bersifat premium, bukan sekadar persembahan biasa. Exists sering tampil dalam konsert ‘back to back’ dan sudah tentu akan mempersembahkan lagu-lagu malar segar mereka.

“Bezanya, kali ini akan benar-benar premium dari segi muzik, audio dan pengalaman yang lebih intim bersama peminat. Sebab itu kami yakin 20 Disember adalah tarikh terbaik sebagai penutup tahun Exists,” katanya.

Sementara itu, Along mewakili Exists berkata, perubahan tarikhnya memberi lebih banyak ruang untuk persiapan termasuk aspek teknikal, sekali gus menjanjikan pengalaman persembahan tidak akan dilupakan peminat.

“Tarikh baharu ini memberi kami peluang memperkemaskan persiapan teknikal. Exists sentiasa mementingkan kualiti dan menghargai setiap sen yang dibelanjakan peminat.

“Kami mahu mereka merasai pesona mewah yang hanya dapat disaksikan sekali seumur hidup,” katanya.

Pemain bass, Musa pula menambah, konsert ini akan menjadi pesta istimewa buat peminat.

“Kami mahu peminat menanti dengan rindu dan menjadikan konsert ini satu kenangan premium Exists pada hujung tahun nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast