KUALA LUMPUR – Sebanyak 1087 cerun di seluruh negara telah dikenal pasti sebagai berisiko tinggi daripada keseluruhan 34,400 cerun yang dipantau Jabatan Kerja Raya (JKR).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata jumlah itu melibatkan 27,072 cerun di Semenanjung, selain 4,178 di Sabah, 2,686 di Sarawak dan 181 di Labuan.

“Kita ada beberapa tahap penilaian risiko dan kategori berisiko tinggi bermaksud cerun boleh runtuh pada bila-bila masa,” katanya kepada media ketika taklimat Kesiapsagaan Kementerian Kerja Raya (KKR) Menghadapi Monsun Timur (MTL) 2025/2026.
Menurut Nanta, pihaknya kini sedang mempertingkatkan tahap siap siaga menghadapi bencana yang melanda negara dengan pengoperasian Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) dan Sistem Pengurusan Bencana (eBencana).
Jelasnya, BiGBen dan eBencana JKR dilaksanakan secara bersepadu untuk menjadi sumber rujukan kepada kepada semua pihak berkepentingan terutama kepada agensi yang terlibat untuk tindakan penyelarasan dan pengurusan bencana negara yang lebih efisien.
“Kita membantu dari segi teknikal kepada agensi lain seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kerajaan negeri serta pejabat daerah.
“BiGBen membolehkan pemantauan hampir masa nyata terhadap kejadian banjir, jalan mendap dan runtuhan cerun melalui input pegawai lapangan.
“BigBen turut berfungsi sebagai pusat sehenti pengurusan maklumat kejadian bencana JKR Malaysia termasuk yang melibatkan Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri,” ujarnya.
Tambah beliau, data berkenaan boleh terus dikongsi dengan pengguna melalui aplikasi mudah alih, termasuk maklumat jalan ditutup serta laluan alternatif.

Dalam perkembangan lain, katanya, JKR turut bersiap sedia dari segi keperluan Jambatan Bailey bagi mengatasi masalah laluan terputus akibat bencana.
“Sepanjang 2,507 kaki Jambatan Bailey telah disediakan untuk digerakkan bagi tujuan kecemasan yang telah ditempatkan di tujuh stor iaitu Bahagian Jalan JKR Negeri Kedah, JKR Daerah Temerloh, Pahang, JKR Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan, dan JKR Daerah Johor Bahru, Johor.
“Ia termasuk JKR Derah Petaling, Selangor, JKR Jajahan Machang, Kelantan dan JKR Daerah Kinta, Perak.
“Selain itu, Negeri Melaka dan Terengganu juga telah melaksanakan perolehan Jambatan Bailey menggunakan peruntukan MARRIS tahun 2025 bagi tujuan kesiapsiagaan bencana dan keperluan kecemasan,” jelasnya. – MalaysiaGazette















