KUALA LUMPUR – Muktamar Tahunan Pas yang melabuhkan tirainya baru-baru ini dianggap sebagai bukti pengaruh parti itu semakin terserlah dalam landskap politik negara.
Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat yang baru dilantik, Tan Sri Annuar Musa berkata perkembangan tersebut menunjukkan Pas tidak lagi boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak, malah menjadi tumpuan utama masyarakat dan pemerhati politik tanah air.
“Alhamdulillah Muktamar Pas telah melabuhkan tirainya bersama pemilihan dan pelantikan saf pimpinan sesi 2025-2027. Ia berlangsung penuh tertib dengan mesej yang padu dan jelas. Buat pertama kali dalam sejarah, Muktamar Pas menjadi tarikan dan mendapat perhatian umum yang begitu hebat daripada semua pihak,” katanya, hari ini.
Menurutnya, meskipun terdapat beberapa reaksi daripada perwakilan terhadap isu luaran, namun fokus Pas tidak berganjak daripada ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dizahirkan menerusi ucapan penggulungan.
“Isyarat yang disimpulkan adalah jelas, iaitu keyakinan pada dasar Islam sebagai jalan penyelesaian serta kesediaan Pas memimpin sesuai mandat yang rakyat berikan.
“Pas memilih cara yang cermat serta bijaksana serta tidak dilambung emosi, malah Presiden mengingatkan jangan ghairah dengan jawatan kelak nanti ‘tersungkur’,” ujarnya.
Annuar menegaskan fokus Pas adalah untuk menggapai kemenangan dengan mendahulukan penyatuan orang Melayu dan umat Islam tanpa meminggirkan kaum serta agama lain.
“Pas tanpa ragu mengisytiharkan hak dan kebebasan beragama bagi bukan Islam terus terpelihara jika berkuasa.
“Pas juga memperagakan politik matang dengan terus menerus memberi komitmen pada muafakat politik melalui taawun dan taayush bersama Perikatan Nasional,” katanya lagi.
Beliau berkata, Pas turut menekankan prinsip kesederhanaan dan keterbukaan bekerjasama dengan semua pihak lain yang tidak ekstrem, sekali gus menolak perkauman dan sikap melampau.
“Bersatu juga melabuhkan tirai mesyuarat tahunannya. Walau terdapat sedikit kemelut dalaman, kita percaya ia mampu mengukuhkan lagi keberadaan Bersatu, terutama dengan sikap terbuka Presiden dan Timbalannya.
“Saya meramalkan PRU16 bakal menyaksikan satu permuafakatan nasional yang besar yang menamatkan keraguan dan ketidakstabilan yang memanjang,” katanya. – MalaysiaGazette
















