SEPANG – Kelemahan tatakelola dan ketidaktelusan menjadi punca polemik isu membabitkan jaguh badminton Paralimpik Negara, Cheah Liek Hou, jelas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurut Azam, kelemahan dari segi penyampaian maklumat dan pelaksanaan dasar boleh menimbulkan salah faham serta kekecewaan, khususnya dalam kalangan penerima manfaat.
“Dua tiga hari ini kita dengar tentang keluhan seorang ahli paralimpik, dia mengatakan tentang bagaimana imbuhan tidak dibayar kepadanya. Itu dakwaan dia tetapi ada pihak telah mula membuat respons.
“Tetapi saya lihat di sini ialah tentang isu tatakelola yang mana mungkin tak difahami atau tidak diberitahu atau tidak ada satu governans yang sempurna yang perlu diikuti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-4 2025 di Pusat Konvensyen Movenpick, hari ini.
Cheah Liek Hou sebelum ini dilaporkan mendakwa Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) sebagai ‘penipu’ menerusi media sosial kerana masih belum melunaskan insentif wang tunai RM60,000 yang dijanjikan selepas memenangi pingat emas dalam Sukan Paralimpik 2024.
Keluhan Liek Hou itu turut mendapat perhatian daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang tidak bersetuju dengan cara layanan MPM, apabila badan itu mengenakan tindakan tunjuk sebab terhadap atlet berkenaan.
Hannah menerusi hantaran di akaun Facebooknya berkata, Liek Hou tidak melanggar mana-mana garis disiplin dan tindakannya hanyalah menuntut apa yang telah dijanjikan setahun selepas meraih pingat emas di Paris, Perancis. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















