KUALA LUMPUR – Mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa perlu tampil dan beri penjelasan di atas kemelut yang melanda Kampung Sungai Baru.
Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB), Syed Badli Shah Osman berkata, Annuar seharusnya mengambil rasa tanggungjawab kerana kelulusan pewartaan akta pengambilan tanah berlaku ketika beliau berkuasa.
“Adalah pengecut jika beliau terus mendiamkan diri sedangkan aktivis-aktivis pembangkang terus digerakkan untuk menyerang Kerajaan Madani dalam isu ini.
“Beliau perlu menjelaskan bagaimana Akta Pengambilan Tanah boleh diwartakan pada Jun 2021 sedangkan ketika itu negara masih berada dibawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan parlimen juga tidak bersidang,” kata Syed Badli yang juga Ketua Cabang Keadilan Titiwangsa dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, adalah pelik sekiranya menteri tidak mengetahui tentang pewartaan ini seperti mana yang dijelaskan oleh Datuk Seri Shahidan Kassim yang menuding jari ke arah Ketua Setiausaha Negara.
“Tentunya setiap tindakan eksekutif terlebih lagi melibatkan pewartaan akta tertentu akan dilaporkan terlebih dahulu ke peringkat menteri berkenaan untuk dibawa ke pengetahuan Kabinet.
“Bagaimana seorang menteri boleh berlepas diri dengan menyalahkan eksekutif sedangkan eksekutif hanya menjalankan tugas tanpa boleh melangkaui kuasa Menteri,” tegasnya.
Menurut beliau, pembangkang juga perlu berhenti menggunakan watak-watak tertentu dengan merekayasa naratif bertujuan menyalahkan Kerajaan Madani kerana kemelut ini jelas berpunca ketika Kerajaan Perikatan Nasional memerintah.
Justeru belau menggesa Annuar tampil beri penjelasan dan bukannya terus menerus mendiamkan diri seperti seorang pengecut. – MalaysiaGazette
















