Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah.

PARIT – Seorang bayi lelaki berusia dua bulan maut selepas dipercayai ditindih ibunya ketika sedang tidur di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua, Kota Setia, dekat sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 18 September lalu sekitar pukul 8.45 pagi.

Menurutnya, bayi warga Indonesia itu disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah otak membengkak dan paru-paru sembab akibat ditindih sehingga gagal bernafas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hafezul Helmi berkata, hasil siasatan lanjut mendapati bayi berkenaan tidur bersama ibunya yang berusia 36 tahun sebelum insiden malang itu berlaku.

“Kita telah menahan suspek yang merupakan seorang wanita warga Indonesia dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan suspek akan dituduh di Mahkamah Majistret Parit pada Isnin depan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai,” jelasnya. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast