KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menggerakkan langkah awal bagi memastikan bekalan makanan serta barangan keperluan asas tidak terputus di kawasan terjejas banjir di Sabah.
Timbalan menterinya, Datuk Fuziah Salleh berkata, bekalan telah diagihkan lebih awal kepada pengedar di zon terdekat kawasan banjir bagi memastikan kelancaran penyaluran bantuan kepada mangsa.
“Bekalan telah diagihkan lebih awal kepada pengedar di zon terdekat kawasan banjir bagi memastikan kelancaran penyaluran bantuan kepada mangsa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang semalam menziarahi mangsa banjir bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meluahkan rasa sebak melihat sendiri kesusahan keluarga yang terpaksa meninggalkan rumah demi keselamatan.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ada yang kehilangan harta benda, ada juga yang hanya mampu membawa diri dan keluarga.
“Mari kita seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama berdoa agar mangsa banjir di Sabah segera pulih serta mampu bangkit lebih kuat selepas berdepan musibah ini,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah mangsa banjir dan tanah runtuh yang masih berlindung di PPS turun mendadak kepada 1,476 orang daripada 459 keluarga, berbanding 2,256 orang daripada 710 keluarga petang semalam.
Membakut mencatatkan jumlah tertinggi dengan 738 mangsa banjir daripada 247 keluarga di 13 PPS, diikuti Penampang yang menempatkan 493 mangsa banjir dan tanah runtuh daripada 141 keluarga di enam PPS. Sementara itu, sebuah PPS di Papar menempatkan 245 mangsa daripada 71 keluarga.
Bagaimanapun, 53 kampung masih terjejas pada pagi ini berbanding 120 kampung pada petang semalam dengan Penampang (24 kampung), Papar (20) dan Membakut (sembilan). – MalaysiaGazette














