Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Gambar hiasan.

KUANTAN – Penganjuran Karnival-Civil Military Cooperation (CIMIC) merupakan medan kesedaran serta peranan kerajaan dan rakyat dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, karnival yang doadakan sempena Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-92 di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini mengangkat tema ‘CIMIC Diperkasa, Kedaulatan Negara Terpelihara’.

Menurutnya, usaha tersebut bertujuan menyediakan rakyat supaya mereka sedar akan soal keselamatan negara.

“Ia supaya rakyat disediakan kesedaran memainkan peranan bagaimana mereka boleh menyumbang kepada keselamatan negara supaya aman dan stabil.

“Kita menyedari instrumen penting untuk memastikan soal pertahanan keselamatan negara bukan sahaja di bawah ATM tetapi turut dipikul keseluruhan kerjaan dan keseluruhan masyarakat.

“Ini antara lain nak pastikan bagi keseluruhan kerajaan segala usaha dijalankan selari sama ada polis ke rukun tetangga ke, Rela bagaimana ejen keselamatan dan pertahanan negara,” katanya.

Konsep CIMIC atau kerjasama awam–tentera yang digerakkan oleh Kementerian Pertahanan merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh konsep pertahanan menyeluruh (comprehensive defence) melalui jalinan erat di antara rakyat dan anggota tentera.

Pendekatan ini selaras dengan aspirasi Kertas Putih Pertahanan yang menekankan bahawa keselamatan negara adalah tanggungjawab bersama menerusi prinsip Whole of Government, Whole of Society (WOGOS).

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia bakal mendepani apa sahaja keberangkalian ancaman meskipun negara dilihat tenang tanpa pergolakan.

Sementara itu, Khalid menyampaikan 500 buah Kotak Rezeki berisi barangan keperluan harian dan 100 hadiah cabutan bertuah yang menarik termasuk motosikal, televisyen pintar dan peralatan elektrik kepada pengunjung Karnival yang hadir semasa karnival itu berlangsung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast