KUALA LUMPUR – Jawatan Perdana Menteri harus diberikan kepada Pas sekiranya parti itu meraih lebih kerusi berbanding pari lain dalam Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, fokus yang sepatutnya diberikan pada masa ini adalah gerak kerja untuk mendepani pilihan raya.
“Bagi saya, elok kita fokus kepada kerja-kerja kemenangan untuk PRU16 nanti. Bila menang barulah bincang.
“Kalau Pas menang banyak, sudah tentu Perdana Menteri dari kami (Pas),” katanya pada sidang akhbar di Kota Bharu seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau menyifatkan sekarang bukanlah masa yang tepat untuk menamakan calon PM.
“Bagi saya elok selepas PRU16. Kalau namakan awal, bila kalah macam mana,” katanya .
Pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) baru-baru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebulat suara menyokong Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon PM.
Bagaimanapun, Pemuda Pas melalui muktamar parti itu pula mencadangkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebagai calon utama Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette
















