KUALA LUMPUR – Pembangunan di Kuala Lumpur merupakan pelan tempatan yang dimuktamadkan berdasarkan pandangan daripada penduduk setempat.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, pelaksanaannya dibuat berlandaskan proses pertimbangan dan pendengaran awam yang juga mengikut lunas-lunas sepatutnya.
“Kita (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) menggunakan pelan tempatan ini dalam kita memproses, mempertimbangkan sebarang permohonan pembangunan di dalam bandar raya KL.
“Saya juga ingin menjelaskan di sini, ini bukan hanya Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) tapi plan tempatan tuan-tuan dan puan-puan-puan semua. Tuan-tuan semua terlibat dalam penyediaan plan tempatan sejak 2019 lagi,” katanya ketika berucap di Dialog Bandar Raya Parlimen Cheras hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai.
Menurut Maimunah, PTKL dimuktamad dan diwartakan pada 28 Mei tahun lalu iaitu sebelum beliau menerajui DBKL.
Sebagai rekod, ia merupakan sebuah pelan induk pembangunan bandar raya yang menentukan hala tuju dan dasar pembangunan fizikal Kuala Lumpur untuk tempoh 20 tahun sehingga 2040 yang akan datang.
PTKL menggariskan visi dan matlamat pembangunan fizikal Kuala Lumpur untuk mencapai status bandar raya bertaraf dunia yang lestari dan berdaya tahan.
Selain itu, pelan berkenaan menetapkan peraturan dan kawalan pembangunan untuk setiap lot tanah di Kuala Lumpur termasuk zon guna tanah, kelas kegunaan tanah dan intensiti pembangunan.-MalaysiaGazette
















