Kementerian Dalam Negeri.

KUALA LUMPUR – Fasa awal pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) secara percubaan yang bermula Isnin ini akan melibatkan laluan kereta sahaja.

Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebagai permulaan pelaksanaannya akan dilakukan di dua pintu masuk negara iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Sebanyak 16 laluan kereta di BSI (lapan masuk, lapan keluar) dan KSAB 12 laluan kereta (enam masuk, enam keluar),” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, pengguna perlu memuat turun aplikasi MyNIISe, kemudian menjana kod QR secara individu atau berkumpulan dalam aplikasi sebelum mengimbasnya di Lorong kenderaan semasa pemeriksaan imigresen.

“Bagi membantu melancarkan penggunaan aplikasi MyNIISe ini, orang ramai juga boleh merujuk panduan langkah demi langkah menerusi poster dan video rasmi menerusi Facebook, Instagram dan TikTok KDN serta NIISe dan Kemas kini berkala menerusi pelantar media sosial rasmi KDN dan NIISe,” jelasnya.

Sehigga semalam aplikasi MyNIISe telah dimuat turun oleh lebih 10 000 orang pengguna.

Menurutnya, ia menunjukkan penerimaan awal yang positif.

“Sepanjang tempoh percubaan ini, KDN mengalu-alukan maklum balas pengguna yang boleh disalurkan melalui e-mel
[email protected].

“Selepas fasa laluan kereta, percubaan penggunaan Kod QR di laluan motosikal serta laluan pejalan kaki/penumpang bas akan dimulakan pada bulan berikutnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast