MOSCOW – Kementerian Luar Rusia pada Jumaat menyuarakan rasa kesal kerana Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih gagal menamatkan keganasan dan penderitaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza akibat veto berulang oleh Amerika Syarikat.
“Ketidakupayaan Majlis Keselamatan PBB untuk menghentikan pertempuran dan pertumpahan darah serta menamatkan penderitaan orang awam adalah amat dikesali dan mengecewakan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman web rasminya, lapor Xinhua.
Pada Khamis, anggota tidak tetap Majlis Keselamatan sekali lagi cuba meluluskan resolusi yang menggesa gencatan senjata di Semenanjung Gaza, pembebasan tawanan dan akses untuk bantuan kemanusiaan.
Semua anggota majlis mengundi menyokong draf resolusi itu kecuali Amerika Syarikat, yang menggunakan kuasa veto buat kali ketujuh sejak peningkatan krisis.
Kementerian Luar mengulangi pendirian Rusia bahawa sikapnya terhadap konflik Israel-Palestin kekal konsisten.
Rusia percaya keamanan dan keselamatan sebenar di rantau itu mustahil dicapai tanpa penyelesaian adil terhadap isu Palestin serta penunaian hak dan aspirasi sah rakyat Palestin, menurut kementerian itu. – Bernama-Xinhua
















