Foto arkib AFP

GAZA – Pasukan tentera Israel membunuh 91 penduduk Palestin di Gaza dalam tempoh sehari, termasuk ahli keluarga seorang doktor terkenal serta empat orang yang berada di atas sebuah lori ketika cuba melarikan diri dari utara Bandar Gaza.

Menurut petugas perubatan, pembunuhan pada Sabtu itu berlaku ketika pasukan Israel meneruskan serangan udara dan darat tanpa henti untuk menawan Bandar Gaza, pusat bandar terbesar di wilayah tersebut, dan memaksa penduduknya berpindah ke zon penempatan paksa di selatan.

Pasukan Israel membedil rumah kediaman, sekolah yang dijadikan pusat perlindungan, khemah yang menempatkan penduduk berpindah serta sebuah lori yang membawa orang awam yang diarahkan tentera Israel supaya meninggalkan Bandar Gaza. Sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh dalam serangan itu.

Awal Sabtu, rumah keluarga Dr Mohammed Abu Salmiya, pengarah hospital terbesar di Bandar Gaza, al-Shifa, turut menjadi sasaran, mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang. Mangsa termasuk abang Abu Salmiya, iparnya serta anak-anak pasangan tersebut.

“Saya terkejut dan hancur hati melihat jasad abang dan isterinya,” kata Abu Salmiya, yang ketika itu sedang bertugas di jabatan kecemasan hospital, kepada agensi berita AFP. “Kini apa sahaja boleh berlaku, kerana anda menerima insan tersayang sebagai syahid atau cedera.”

Hamas mengecam serangan itu sebagai “mesej pengganas berdarah yang ditujukan kepada para doktor untuk memaksa mereka meninggalkan bandar”.

Ia turut menyatakan bahawa pasukan Israel telah membunuh kira-kira 1,700 petugas kesihatan dan memenjarakan 400 yang lain sejak melancarkan perang di Gaza pada Oktober 2023.

Serangan Israel yang lain turut menyasarkan sekumpulan penduduk Palestin di atas sebuah lori ketika cuba melarikan diri dari Bandar Gaza, mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan meninggalkan mayat bergelimpangan di jalan. Serangan itu berlaku di kawasan Nasr, Bandar Gaza.

Wartawan Al Jazeera, Hind Khoudary yang membuat liputan dari az-Zawayda di Gaza tengah, berkata mangsa serangan itu adalah antara ribuan orang yang cuba melarikan diri daripada pengeboman berterusan, bedilan artileri dan tembakan dron kuadkopter Israel.

“Pasukan Israel juga menggunakan robot sarat bahan letupan yang memusnahkan seluruh kawasan dan menyebabkan kerosakan tidak terkira,” katanya. “Sebahagian penduduk berkata mereka merasakan seperti gempa bumi setiap kali letupan berlaku.”

Khoudary menambah bahawa pasukan penyelamat dan petugas perubatan tidak dapat sampai kepada penduduk Palestin yang terperangkap atau cedera “kerana keadaan terlalu berbahaya”.

Menurut Pertahanan Awam Palestin di Gaza, serangan Israel ke atas bandar itu yang bermula pada Ogos telah memaksa lebih 450,000 orang melarikan diri. Pada awal serangan, terdapat kira-kira sejuta penduduk di kawasan tersebut.

Tentera Israel pula menganggarkan bahawa mereka telah meruntuhkan sehingga 20 blok menara dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini di Bandar Gaza.

Bagaimanapun, penduduk Palestin yang melarikan diri kini berdepan kesukaran mencari tempat berlindung.

Khoudary menggambarkan keadaan itu sebagai “amat memilukan”.

“Kami melihat ada khemah-khemah di tepi jalan. Penduduk benar-benar terpaksa mendirikan khemah di kawasan yang tiada bekalan air, elektrik atau infrastruktur,” katanya.

“Itu kerana penduduk Palestin langsung tidak mempunyai pilihan lain.” -AGENSI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast