AMPANG – Kira-kira 300 penduduk menderita bau busuk dan berdepan risiko tanah runtuh daripada kawasan pembuangan sampah secara haram di Kampung Tasik Permai, di sini, yang semakin serius sejak lima tahun lalu.
Wakil penduduk, Krishna Veni Terasy berkata, pihaknya sudah membuat pelbagai aduan kepada Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat dan siri bantahan dilakukan melalui Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Namun kata beliau, apa yang dikesalkan, isu terbabit masih berlarutan dan tiada sebarang tindakan yang sewajarnya diambil dari pihak berkuasa sehingga kini.
“Kami berasa amat kecewa dan beranggapan pihak berkaitan tidak mengambil serius tentang keadaan ini sehingga menyebabkan hakisan tanah dan membenarkan kegiatan secara haram di tapak tanah hak milik kerajaan.
“Keadaan ini semakin meruncing apabila hakisan tanah runtuh sedikit demi sedikit dan ia boleh menyebabkan kejadian hakisan tanah yang serius sekiranya kegiatan pembinaan rumah secara haram ini tidak dihentikan dengan serta merta.
“Di samping itu juga kami mendapati sampah-sarap yang dibuang berdekatan kawasan perumahan penduduk ini berbau busuk dan dikhuatiri akan menyebabkan berbagai penyakit seperti denggi dan sebagainya,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Shabanu Baba.

Mengulas lanjut, Krishna Veni berkata, penduduk merayu dengan Kerajaan Selangor dan campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari untuk mengambil tindakan drastik bagi menghentikan kegiatan haram itu serta-merta demi keselamatan kawasan perumahan itu.
Jelas beliau, apa yang ditakuti adalah ancaman tanah runtuh lebih serius yang boleh berlaku pada bila-bila masa yang bakal mengancam nyawa penduduk setempat memandangkan ia pernah berlaku sebelum ini.
Katanya, penduduk juga berdepan pelbagai masalah lain seperti kemunculan anai-anai dari tempat pembuangan sampah dometik dan sisa binaan selain bau busuk yang teruk berhari-hari jika hari hujan.
“Sepanjang lima tahun, setiap kali kami buat aduan, pihak terbabit itu akan menghentikan operasi selama seminggu dan kembali semula seperti selepas itu.

“Jadi kami sudah tidak tahu hendak kepada sesiapa untuk menyelesaikan kawasan pembuangan sampah haram ini. Ini kerana setiap kali aduan dibuat kepada MPAJ, maklum balas yang diterima daripada mereka adalah di luar kawasan kami.
“Dan bila aduan dibuat kepada SWCorp, mereka minta kami menghubungi pula pihak berkuasa tempatan kawasan dan ia adalah MPAJ. Jadi masalah ini terus berlarutan dan siapa lagi yang boleh hentikan masalah ini,” katanya kesal.
Krishna Veni memberitahu, surat aduan kepada Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat turut dimajukan kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Namun sehingga kini, dakwanya, tiada maklum balas yang diberikan oleh Rafizi atau pun pembantu di pejabat Parlimen beliau.
“Ahli Parlimen kami sibuk, kami tidak pasti sama ada beliau atau pembantnya ada membaca surat aduan yang turut dimajukan kepada beliau,” katanya. – MalaysiaGazette

















