Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan Zon Sifar Sisa Wilayah Persekutuan melibatkan kesemua 11 kawasan Parlimen di ibu negara secara berperingkat-peringkat bagi memelihara kebersihan dan keceriaan tempat awam.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, inisiatif itu dijalankan di beberapa lokasi termasuk pusat penjaja, taman-taman awam, kompleks sukan milik agensi itu serta institusi pendidikan.

Ujar beliau, sebagai contoh, di Taman Tasik Titiwangsa yang merangkumi beberapa komponen utama seperti penghasilan produk mesra alam daripada sisa kaca di mana lot parkir dan garisan jalan telah diturap menggunakan 1,314 kilogram kaca terpakai.

Katanya, selain itu, inovasi penggunaan semula sisa plastik sekali guna kepada produk kejuruteraan pavement dan green ashpalt yang mesra alam.

“Bahan kaca yang digunakan mempunyai ciri kebolehtelapan air yang membantu pengurusan air hujan.

“Perkataan `Taman Tasik Titiwangsa’ juga telah diubah suai menggunakan sebanyak 4,100 kilogram kaca guna semula,” ujarnya.

Maimunah ditemui wakil media selepas Majlis Pelancaran Zon Sifar Sisa Wilayah Persekutuan di Pusat Penjaja Jalan Raja Muda Abdul Aziz (TPCA), Kampung Baru di sini.

Petugas Entomologist, entomal biotech sdn bhd, Nor Athasha Norazmi, 29, menunjukkan ulat sebelum diproses kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif pada Majlis Pelancaran Zon Sifar Sisa di Pusat Penjaja Jalan Raja Muda Abdul Aziz (TPCA), Kampong Bharu. Foto AIZAT ZAINAL, 21 SEPTEMBER 2025.

Beliau berucap pada pelancaran peringkat Parlimen Titiwangsa melalui projek pengomposan sisa makanan dengan kerjasama Think City dan Entomal Biotech Sdn Bhd menggunakan Black Soldier Fly Larvae yang dikenali sebagai EMBC (Entomal Mobile Bio-Conversion System).

Dalam ucapannya, beliau berkata, inisiatif Sifar Sisa di Bazar Ramadan 2025 setakat ini menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

Ujarnya, sejak Julai 2025, sebanyak 1,795.6 kg sisa makanan telah dirawat melalui projek EMBC dan telah menghasilkan 235.4 kg protein larva serta 509 kg frass.

Menurut Maimunah, selain itu, penjaja juga boleh menukar barangan kitar semula kepada insentif berupa barang keperluan asas seperti gula, tepung gandum dan minyak masak melalui Program 1C1R.

Jelasnya, melalui Program MySaveFood, sebanyak 11,482.89 kilogram lebihan makanan telah berjaya diselamatkan dengan anggaran nilai RM139,576.69.

“Usaha ini turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon sebanyak 21,532.28 kilogram CO2,” ujarnya.

Menurut Maimunah, menerusi Program Pengasingan Sisa Makanan, sebanyak 11,990 kilogram sisa makanan telah dihantar ke pusat pengomposan, manakala 24,061 kilogram sisa bukan makanan pula berjaya dikitar semula. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast