JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang lelaki selepas terlibat dalam kegiatan mencuri kabel di jalan raya di Sungai Tiram di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan G Vikra Mathiththan@Victor berkata, kejayaan itu susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang memaklumkan kejadian tersebut.
Pada masa yang sama katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam mengesan video kejadian itu yang berdurasi 33 minit dan tular dalam media sosial.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 3 pagi semalam di Sungai Tiram. Bertindak atas maklumat anggota IPD Seri Alam membuat tangkapan.
“Tangkapan tersebut dibuat ke atas seroang lelaki warga tempatan yang berusia 34 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.
Hasil ujian saringan air kencing pula katanya, suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau memberitahu, siasatan dijalan bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, pihaknya mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham dan kegusaran dalam kalangan masyarakat serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.- MalaysiaGazette
















