KUALA LUMPUR – Permohonan prosiding komital terhadap aktivis Mona Din bagi penghinaan mahkamah berkaitan hantaran menyentuh inkues Zara Qairina Mahathir, tetap diteruskan meskipun beliau sudah mengemukakan pernyataan maaf, Jumaat lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya tidak menerima permohonan maaf aktivis itu atau nama sebenarnya Che Muna Din yang dikemukakan menerusi laman Facebooknya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak berhasrat untuk membatalkan notis tunjuk sebab bertarikh 10 September lalu yang dikeluarkan terhadapnya.
“AGC mengambil maklum permohonan maaf tersebut serta tindakan beliau menurunkan hantaran berkenaan. Ia mungkin boleh menjadi faktor mitigasi kepada penama tersebut dalam proses mahkamah kelak.
“Memandangkan tindakan penama tersebut adalah berkait penghinaan proses mahkamah yang sedang berjalan, pihak AGC perlu mengambil tindakan tegas untuk mengelakkan isu penghinaan mahkamah ini diambil ringan dan terus dilakukan oleh mana-mana pihak.
“Dalam erti kata lain, AGC tidak dapat menerimanya (permohonan maaf beliau). Pihak jabatan akan berkomunikasi dengan peguamnya kelak,” ujar Mohd. Dusuki kepada Malaysia Gazette hari ini.
Ketika ditanya sama ada permohonan perintah komital sudah difailkan terhadap Mona, Peguam Negara memaklumkan ia akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Beliau ditanya tindakan lanjut agensi itu berhubung permohonan maaf yang dibuat Mona berhubung hantaran yang menyentuh inkues menyiasat punca kematian Zara Qairina yang dimuatnaik dalam laman Facebook pada 4 September lalu.
Dalam permohonan maafnya, aktivis itu berkata, beliau tidak pernah berniat untuk mempertikai atau mencampuri prosiding Mahkamah Koroner yang sedang berjalan ketika itu.
“Saya juga tidak mempunyai niat jahat untuk mempengaruhi pandangan serta persepsi masyarakat, apatah lagi Hakim Mahkamah Koroner yang sedang menjalankan prosiding inkues.
“Saya berjanji untuk tidak lagi membuat sebarang hantaran yang boleh dianggap mengganggu sistem keadilan dan menghina mahkamah,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa hantaran itu telah dipadam pada 13 September lalu sekitar jam 6.18 petang.
Terdahulu, AGC menyerahkan notis tunjuk sebab kepada Mona selepas beliau didapati memuat naik hantaran bersifat menghina mahkamah di laman Facebook berhubung prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu itu.
AGC dalam satu kenyataan memaklumkan, notis itu diserahkan selaras dengan Aturan 52 Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
“Penghantaran notis tunjuk sebab ini merupakan sebahagian prosedur yang perlu dipatuhi bagi memulakan prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah.
“Penelitian AGC mendapati hantaran dimuat naik Che Muna Din, yang antara lain mempertikai keterangan saksi pakar iaitu Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, Dr Jessie Hiu, berpotensi mempengaruhi pandangan awam serta mengganggu perjalanan prosiding inkues yang sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette

















Buat salah minta maaf, buat salah minta maaf..damage already done. AGC teruskan sebagai pengajaran dimasak hadapan kepada sesiapa saja.
Org terpaling segala nya seperti ini mesti di ajar… Supaya menjadi pengajaran pada yang lain.