JDT 2 tewas kepada Perak FA pada aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di Pasir Gudang malam tadi. Foto ihsan Facebook Johor Southern Tigers

PASIR GUDANG – Kemenangan Perak FA 2-1 ke atas Johor Darul Ta’zim 2 (JDT 2) bagi saingan Liga A1 Semi –Pro 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) di sini malam tadi disifatkan sebagai bonus buat mereka.

Pengendali Perak FA, Syamsul Saad berkata, kemenangan tersebut sekali gus menepati sasaran awal yang ditetapkan skuad Kejor Yob Kejor itu iaitu untuk tidak tewas dalam perlawanan tersebut dan berjaya membawa pulang mata.

“Kita datang dengan misi tak nak kalah dan saya percaya semua pemain saya jelas dengan misi kami itu.

“Kita juga telah melihat aksi terakhir JDT 2 dan kita dapati JDT 2 memang bahaya ketika melakukan serangan balas, jadi kita tidak boleh bermain seperti biasa (open game), kerana ia akan membuatkan kita dibolosi dengan lebih banyak.

“Bagaimanapun, hasil dispilin selain mengikut segala perancangan, sasaran kita tak nak kalah tercapai dan kemenangan itu merupakan satu bonus buat pasukan. Alhamdulillah,” katanya dalam sidanga akhbar sejurus tamat perlawanan.

Pada perlawanan berkenaan, Perak FA berjaya merobek gawang JDT 2 pada minit ke-22 menerusi kapten pasukan, Kamal Arif Azrai Shaimar, namun jaringan itu dibatalkan pengadil Mohamad Haziq Iqmal Ayazi kerana didapati ofsaid terlebih dahulu.

Bagaimanapun, penyerang Perak FA, Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifli mengejutkan JDT 2 menerusi jaringan pada minit ke-32 sebelum pemain import, Celso Jose menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-37.

Sebaik permainan bersambung pada babak kedua, Perak FA sekali lagi merobek gawang JDT 2 pada minit ke-46 menerusi jaringan Muhammad Fadhil Mohammad Azmi yang sekali gus merupakan gol kemenangan pelawat.

Sementara itu, Syamsul mengakui skuad kendaliannya itu memang beraksi secara bertahan dalam usaha mengelakkan gawang dibocori jentera serangan JDT 2.

“Kita tahu kualiti JDT 2 macam mana.  Jika kita main open (terbuka), kita akan kena (dibolosi).  Kita pun dah kaji perkara ini.

“Bagaimanapun, ada perkara perlu kita betulkan kerana dalam perlawanan ini ada juga kelihatan pemain melakukan percubaan ke pintu gol JDT 2, apa pun alhamdulillah sasaran untuk kita tidak kalah tercapai,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast