KUALA LUMPUR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka dibubarkan sebelum ia terbubar sendiri pada 11 November ini bagi memberi lalua kepada Pilihan Raya Negeri ke-17, kata Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan khusus tarikh pembubaran DUN tersebut.
“Memang tidak lama lagi, sabarlah. Tunggu, kalau cuaca ini terang, kita bubarlah, bila cuaca baik nanti.
“Kita tiada pilihan sebab tempoh Dewan terbubar sendiri bulan November. Jadi, mesti kita adakan sebelum itu,” katanya seperti yang dilaporkan portal-portal berita tempatan hari ini.
Hajiji yang juga Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, PRN ke-17 tetap akan diteruskan meskipun Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan hujan berpanjangan akan melanda pada November ini.
Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya pada Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, Penampang, hari ini berkata, PRN ke-17 amat penting kerana ia akan menentukan kesinambungan pembangunan negeri bawah GRS.
Jelas beliau, kerajaan GRS pimpinannya membuktikan keupayaan dengan rekod pencapaian dalam pelbagai bidang, khususnya pendidikan, ekonomi, kebajikan, pelaburan dan pengurusan hasil negeri. -MalaysiaGazette















