JOHOR BAHRU – Seorang tukang masak di Singapura maut selepas motosikal ditunggang kemalangan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan itu yang melibatkan sebuah kereta dan motosikal berlaku pukul 5.10 pagi.
“Kejadian tersebut berlaku apabila kereta berkenaan dipandu seorang kontraktor lelaki berusia 34 tahun dari arah Taman Sentosa menuju ke pusat bandar.
“Semasa mengubah haluan masuk ke susur kiri tiba-tiba datang motosikal yang ditunggang mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar sebelah kiri kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, akibatnya penunggang, 18, dan pembonceng, 23, yang kedua-duanya bekerja sebagai tukang masak di Singapura jatuh di tempat kejadian.
Katanya, penunggang tersebut mati di tempat kejadian manakala pemboncengnya pula cedera ringan.
Raub memberitahu, siasatan dijalankan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta saksi untuk tampil ke balai polis tarfik untuk memberi keterangan.
Tambahnya, mereka juga boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Nur Fatihah Ismail 010-4171762.- MalaysiaGazette
















