KUALA LUMPUR – Sebanyak 13,664 tiket bagi dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang ditawarkan bermula 28 Ogos hingga 21 September lalu habis terjual, semalam.
Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) berkata, tiket tambahan yang ditawarkan sempena cuti sekolah penggal kedua dan cuti peristiwa utu membuktikan sambutan positif orang ramai terhadap inisiatif KTMB dalam memenuhi permintaan tinggi musim cuti.
Perkhidmatan tambahan yang melibatkan laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral dengan dua tren tambahan (EP9283 dan EP9286) itu ditawarkan sepanjang 18 hari.
Ketua Pegawai Teknikal KTMB (menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB), Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, pencapaian tersebut menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap kualiti perkhidmatan yang selesa, efisien dan selamat..
“Realitinya, setiap musim cuti panjang menyaksikan lebuh raya dipenuhi kenderaan dan trafik yang sesak, justeru pengangkutan awam sentiasa menjadi pilihan terbaik.
“Dalam konteks ini, perkhidmatan kereta api khususnya ETS sentiasa menjadi pilihan utama rakyat Malaysia untuk bercuti dan pulang ke kampung. Pada masa yang sama, ia turut membantu mengurangkan aliran trafik di jalan raya”, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu katanya, KTMB akan terus komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengguna dan sentiasa mempertimbangkan penambahan tren pada musim perayaan atau cuti panjang yang lain.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200. -MalaysiaGazette
















