KUALA LUMPUR – Pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) mencerminkan satu reformasi berwawasan jauh dalam mencegah ketirisan subsidi berbilion ringgit yang berlaku setiap tahun sebelum ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, subsidi bersasar berkenaan memastikan hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia sekali gus menutup ruang ketirisan yang sebelum ini turut dimanfaatkan oleh warga asing yang tidak bayar cukai.
“Dengan BUDI95, subsidi kerajaan kini disalurkan secara tepat dan adil khas untuk warganegara Malaysia. Inilah bukti kerajaan Madani yang tegas dalam membela nasib rakyat sambil memastikan kewangan negara kita lebih mampan dan stabil,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah Kor Ming, langkah tersebut dalam masa yang sama membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyeimbangkan kebajikan rakyat dengan amanah dan tanggungjawab serta menjaga fiskal kewangan negara.
“BUDI95 bukan sahaja mengurangkan kos sara hidup rakyat, harga petrol RM1.99 satu liter antara paling murah di dunia malah ia juga menghentikan kebocoran subsidi yang merugikan negara sejak kemerdekaan.
“Inilah semangat Malaysia MADANI dengan memastikan tiada yang tertinggal dan setiap sen dibelanjakan memberi manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya lagi.
Sebagai rekod, seluruh rakyat Malaysia akan dapat menikmati petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter manakala RM2.60 seliter bagi golongan bukan warganegara bermula 30 September depan.- MalaysiaGazette
















