JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor sedang meneliti penggunaan teknologi baharu termasuk sistem pintar seperti smart meter untuk membantu mengukur serta mengesan gempa bumi.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, sistem tersebut nanti akan dapat mengenal pasti gegaran secara lebih tepat dan berkesan.
Beliau berkata, pada masa kini, sebagai persediaan kerajaan negeri menganjurkan bengkel sebagai persediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus bagi menghadapi kemungkinan kejadian gempa bumi lagi di Johor selepas ini.
“Bengkel bersama-sama pelbagai agensi negeri dan Persekutuan itu sudah diadakan bagi membincangkan gerak kerja bersepadu sekiranya bencana itu berlaku.
“Langkah tersebut tersebut dibuat susulan beberapa siri gempa bumi lemah berlaku di daerah Segamat akhir bulan lalu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) di sini hari ini.
Katanya, mesyuarat jawatankuasa bencana yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri turut menekankan penyelarasan bantuan bersama-sama agensi lain.
“Kita sudah buat bengkel dan melibatkan agensi negeri serta Persekutuan bincangkan mengenai SOP apabila berlaku gempa bumi.
“Kesedaran rakyat amat penting. Sama seperti menghadapi banjir kilat, kita mahu masyarakat jelas bagaimana tindakan menyelamat dan bantuan akan dilaksanakan sekiranya berlaku gempa bumi.
Sejak akhir bulan lalu dilaporkan beberapa siri gempa bumi lemah berlaku di Segamat dengan kekuatan magnitud 4.1 pada pukul 6.13 pagi 24 Ogos lalu.
Ini disusuli gegaran kedua pada 9 pagi di Yong Peng pada hari sama dengan kekuatan magnitud 2.8.
Empat gegaran lemah terus terjadi di Segamat pada 27 Ogos hingga 30 Ogos sekitar 4.24 pagi hingga 8.59 pagi dengan kekuatan magnitud antara 2.7 hingga 3.4.- MalaysiaGazette
















