KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat perlu menarik semula cadangan perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Malah, Penasihat DAP, Lim Guan Eng berkata, Mohd Yusoff juga perlu memohon maaf atas cadangan itu yang disifatkan tidak sensitif terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.
Dalam masa sama, ujarnya, adalah lebih baik Mohd Yusoff menumpukan usaha kepada tugas untuk membendung peningkatan kes rogol dan rogol statutori di Kelantan.
Jelas Guan Eng, cadangan Ketua Polis Kelantan itu adalah salah daripada segi etika dan jelas mengabaikan tanggungjawab sebagai pegawai awam untuk melindungi wanita dan kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa dan sasaran pemangsa seksual.
Ujarnya, pegawai polis seperti Mohd Yusoff memikul tanggungjawab asas untuk mempertahankan dan melindungi masyarakat khususnya golongan lemah dan rakyat yang mematuhi undang-undang terutama wanita, kanak-kanak dan golongan yang mudah terdedah daripada penjenayah dan pemangsa seksual.
“Bagaimanakah perkara ini boleh dicapai jika mangsa rogol turut dihukum bersama dengan pelaku jenayah?
“Cadangan sebegini bukan sahaja tersasar malah menunjukkan tiadanya simpati, empati dan belas kasihan terhadap kanak-kanak perempuan bawah umur yang menjadi mangsa rogol statutori,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mohd Yusoff seperti dilaporkan media berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di Kelantan adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
Seterusnya Guan Eng berkata, terdapat sebab mengapa umur sah untuk memberi persetujuan ditetapkan pada 16 tahun dan mengapa undang-undang menganggap hubungan seks secara sukarela dengan individu bawah umur sebagai satu jenayah rogol statutori.
Jelasnya, tujuan undang-undang itu adalah untuk melindungi kanak-kanak perempuan daripada eksploitasi seksual disebabkan usia mereka yang masih muda dan ketidakmatangan mereka, yang menyebabkan mereka tidak cukup berpengetahuan dan matang untuk membuat keputusan sendiri untuk memberi persetujuan kepada hubungan seks.
Kata beliau, peruntukan liabiliti ketat itu bukan sahaja wujud di Malaysia malah di hampir semua negara di dunia, dengan perbezaan hanya pada umur sah untuk memberi persetujuan.
“Apa yang membuatkan Malaysia begitu berbeza sehingga mangsa perlu dihukum hanya kerana memberi persetujuan sedangkan dari segi undang-undang, dia tidak berkeupayaan untuk berbuat demikian?” soalnya. – MalaysiaGazette
















