Azam Baki

KUALA LUMPUR Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) yang ditubuhkan pada 2018 susulan pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus mencatat kejayaan dalam usaha memulihkan dana awam yang disalahgunakan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, MATF diwujudkan oleh kerajaan sebagai inisiatif bersepadu bagi menyelaras siasatan, tindakan perundangan serta pemulihan aset dalam kes-kes berprofil tinggi melibatkan ketirisan hasil negara.

Katanya, SPRM diberi mandat sebagai agensi peneraju dengan kerjasama rapat Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia (BNM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Kementerian Kewangan.

“Bagi tahun 2024 sahaja, MATF berjaya mengutip sejumlah RM708,552,315.57 merangkumi kutipan cukai, kompaun, denda serta penyelesaian hasil daripada pendakwaan mahkamah.

“Operasi yang dijalankan melibatkan siasatan terhadap jenayah kewangan, pengubahan wang haram serta pelbagai bentuk penyelewengan dana awam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM hari ini .

Azam menegaskan, antara fokus utama MATF termasuk menjejaki, membekukan dan menyita aset yang diperoleh secara haram serta memulangkan aset berkenaan kepada kerajaan melalui Akaun Amanah Pemulihan 1MDB.

Pendekatan itu, kata beliau, melibatkan kerjasama strategik bersama agensi penguatkuasa domestik dan antarabangsa seperti Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam usaha mempercepat proses litigasi dan pemulihan aset secara telus dan berkesan.

“SPRM memainkan peranan teras dalam menyelaras siasatan, mengesan aliran wang, memfailkan permintaan bantuan undang-undang antarabangsa, serta bekerjasama dalam prosiding perundangan bersama AGC.

“Kejayaan pelbagai operasi MATF membuktikan keberkesanan model kerjasama antara agensi sebagai pendekatan utama dalam menangani rasuah dan jenayah kewangan di peringkat nasional dan global,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast