KUALA LUMPUR – Pas perlu menawarkan sesuatu yang lebih substantif (jelas) sekiranya mahu mendapatkan sokongan masyarakat bukan Melayu di sebalik aspirasi nasional yang dibawa parti itu.
Pengerusi Urimai, P. Ramasamy berkata, ia khususnya berkenaan persoalan sama ada ideologi Islam yang dibawa Pas benar-benar berbeza kepada masyarakat bukan Melayu daripada segi mengembalikan hak asasi yang bebas daripada diskriminasi.
Menurut beliau, terdapat kebimbangan serius dalam kalangan masyarakat Cina dan India bahawa jika Pas berkuasa di peringkat nasional, hegemoninya etnik akan digantikan dengan hegemoni agama.
“Masalah dengan kedua-dua hegemoni etnik dan agama ialah ketiadaan pembedaan kelas atau sosioekonomi. Walaupun hegemoni etnik dan agama mungkin mengukuhkan lagi perbezaan dengan komuniti lain, ia tetap gagal menjelaskan dinamika dalaman perbezaan dan konflik kelas,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Menurut Ramasamy, ideologi Islam Pas mempunyai tarikan lebih besar dalam kalangan orang Melayu berbanding ideologi etnik yang dibawa oleh Kerajaan Madani.
Pas, ujarnya, mungkin bercita-cita untuk berkuasa di peringkat nasional namun parti itu masih belum benar-benar menangani kebimbangan serius masyarakat bukan Melayu di negara ini.
“Adakah ideologi Islam Pas akan berbeza dengan ideologi etnik kerajaan Madani baik dari segi teori mahupun amalan? Adakah ideologi Islam Pas akan menjadi kuasa pembebasan atau akhirnya menjadi kuasa hegemonik yang hanya memenuhi kepentingan satu segmen rakyat dan bukan yang lain?
“Jika Pas berkuasa, adakah ia bermakna masyarakat bukan Melayu akan menukar satu bentuk dominasi atau diskriminasi dengan bentuk yang lain?” soalnya.
Menurut beliau, walaupun masyarakat Cina dan India menyokong dasar tindakan afirmatif untuk membantu orang Melayu khususnya daripada kategori sosioekonomi rendah, mereka tetap menentang sistem politik yang menyembunyikan perkauman dan ekstremisme agama atas nama prinsip tindakan afirmatif.
Bagaimanapun, ujarnya, Pas dan Perikatan Nasional (PN) sebagai peneraju mungkin menawarkan model politik yang berbeza daripada kerajaan sekarang.
“Penekanan Pas terhadap Islam berbeza daripada model dominasi etnik Kerajaan Madani,” katanya. – MalaysiaGazette
















