PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Oktober ini bagi pengurusan kes rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan seorang bekas penjual daging daripada dua pertuduhan komunikasi jelik menghina Permaisuri Agong, dua tahun lalu.
Peguam T.K. Pang yang mewaliki Sharil Mohd. Sarif memberitahu pihak media hari ini, pihak pendakwaan memohon menangguhkan prosiding hari ini bagi mengemukakan hujahan tambahan berhubung isu perlembagaan yang dibangkitkan oleh pembelaan.
“Perkara tersebut berkait rapat dengan keputusan mahkamah yang sebelum ini mengisytiharkan Seksyen 233 sebagai tidak berperlembagaan,” kata peguam tersebut.
Hari ini sepatutnya ditetapkan pendengaran rayuan pendakwaan di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk Noorin Badaruddin.
Kes ini merupakan kes keempat melibatkan responden yang dituduh membuat kenyataan menghina melalui media sosial.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian) dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama.
Dalam tiga kes terdahulu, Mahkamah Sesyen telah mensabitkan Sharil bersalah dan beliau telah dipenjara.
Manakala bagi kes keempat ini, Mahkamah Tinggi pada 19 Disember 2024 mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang membebaskan Sharil.
Pihak pendakwaan tidak berpuas hati lalu mengemukakan rayuan.
Tahun lalu, Sharil, 42, didakwa atas dua pertuduhan secara sedar membuat serta memulakan penghantaran komunikasi jelik menggunakan akaun Twitter (kini dikenali sebagai X) dengan pautan profil “SharilSarif39” pada 12 Mac 2023, masing-masing sekitar pukul 5.28 pagi dan 5.30 pagi.
Hantaran tersebut mengandungi kata-kata lucah serta menghina Raja dan agama dengan niat menyakitkan hati orang lain dan dibaca pihak polis di Bukit Aman pada pukul 8.22 malam, 13 Mac pada tahun yang sama.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Pada Januari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Sharil daripada sabitan tersebut. Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan itu. – MalaysiaGazette
















