Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman

KUALA LUMPUR – Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), yang mewakili lebih 1,143 syarikat keselamatan berlesen di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini menggesa pelaksanaan pelesenan mandatori bagi setiap pengawal keselamatan individu di Malaysia dan meletakkan agenda ini sebagai transformasi industri keselamatan swasta.

Menurutnya, pada masa ini, hanya syarikat keselamatan diwajibkan lesen di bawah Akta Agensi Persendirian 1971, manakala pengawal keselamatan individu tidak mempunyai pengiktirafan khusus.

Menurutnya, keadaan ini menimbulkan pelbagai isu seperti kewujudan pengawal keselamatan haram, ketidakseragaman latihan dan pakaian seragam, serta kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap individu tanpa lesen.

“Melalui cadangan baharu ini, setiap individu yang ingin berkhidmat sebagai pengawal keselamatan perlu mendapatkan lesen khas sebelum dibenarkan bertugas.

“Proses pelesenan turut melibatkan kursus pra-pelesenan mandatori yang merangkumi undang-undang, prosedur kecemasan, pertolongan cemas dan hubungan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, semua pemohon juga perlu diwajibkan menjalani tapisan latar belakang jenayah sebelum dilesenkan dan diterima bekerja.

Lesen yang diberikan juga akan tertakluk kepada pembaharuan secara berkala dengan syarat menghadiri kursus penyegaran.

Berikutan itu, PIKM mencadangkan agar KDN menubuhkan pangkalan data rasmi serta badan kawal selia khusus untuk menguruskan pelesenan dan penguatkuasaan. Kaedah pelesenan pengawal keselamatan diamalkan di banyak negara termasuk ASEAN.

PIKM menjelaskan, pelesenan pengawal keselamatan akan memberi pelbagai manfaat kepada negara dan industri.

Antaranya ialah meningkatkan integriti dan profesionalisme industri keselamatan swasta, menjamin keselamatan awam dengan memastikan hanya individu yang bersih rekod dan layak secara fizikal dibenarkan bertugas, serta memberi keyakinan kepada pelanggan dan orang ramai terhadap pengawal keselamatan yang sah.

Pelesenan ini akan menstabilkan industri dengan mengatasi isu harga perkhidmatan tidak munasabah serta memastikan pembayaran gaji mengikut undang-undang buruh.

Lebih penting, inisiatif ini akan mengiktiraf pengawal keselamatan sebagai satu profesion rasmi yang dihormati dan berpotensi besar menarik minat orang ramai menyertai kerjaya ini serta mengubah persepsi Masyarakat terhadap industri.

Sementara itu, Presiden PIKM, Datuk Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman, berkata, pelesenan individu bagi setiap pengawal keselamatan adalah satu langkah progresif dan perlu.

“Dengan adanya lesen khas, kita bukan sahaja dapat meningkatkan tahap keselamatan awam, malah memberi pengiktirafan profesional kepada pengawal keselamatan yang berkhidmat di lapangan. PIKM komited bekerjasama dengan KDN untuk memastikan pelaksanaan cadangan ini berjalan lancar dan memberi manfaat kepada kerajaan, industri serta rakyat,” katanya.

PIKM menambah, ia memberi komitmen penuh untuk bekerjasama dengan KDN dan semua pihak berkepentingan dalam membangunkan serta melaksanakan inisiatif penting ini, sejajar dengan Pekeliling Agensi Persendirian Bilangan 1 Tahun 2010, yang menegaskan peranan syarikat perkhidmatan keselamatan sebagai barisan pertahanan ketiga negara.

Malah, PIKM bersedia untuk membantu dalam merangka peraturan khusus, mentakrifkan kurikulum latihan dan menyediakan kepakaran industri bagi memastikan peralihan kepada sistem pelesenan pengawal keselamatan yang berkesan serta memberi impak positif kepada keselamatan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast