KOTA TINGGI – “Pada tadi, sebelum Fakhrurazi pergi kerja pukul 6 pagi, saya tengok mukanya layu, selalu tidak pernah begitu.
“Kemudian pada pukul 8 pagi, anak saya memaklumkan Fakhrurazi terlibat kemalangan,” kata Salimah Pit, 65, ibu angkat kepada pengurus pasar raya, Mohd Fakhrurazi Muda, 37, yang maut dalam kemalangan pagi tadi.
Dalam kemalangan tersebut, Fakhrurazi dan seorang guru agama sekolah tahfiz, Intan Yuliana Sahir, 47, maut dalam kemalangan dua kereta di Kilometer 26.0 Jalan Kulai-Kota Tinggi di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, Fakhrurazi yang memandu Perodua Bezza kemalangan dengan kereta Toyota Vios dipandu Intan, kedua-duanya meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bercerita lanjut, Salimah berkata, arwah yang berasal dari Kuala Terengganu tinggal bersama-samanya sejak hampir lapan tahun lalu di Kampung Seri Delima selepas bekerja di pasar raya tersebut.
Ibu kepada tujuh anak itu rapat dengan semua anaknya dan kali terakhir bertemua arwah semalam ketika beriadah di kawasan pantai Tanjung Balau dekat sini.
“Fakhrurazi ajak saya jalan-jalan ke pantai petang semalam. Sepanjang di sana banyak berbual tetapi rupanya itulah memori terakhir saya dengannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.
Sementara itu, kakak angkatnya, Norhayati Ahmad, 41, berkata, Fakhrurazi ada memberitahu hasratnya untuk bertunang pada bulan Jun tahun depan.
“Fakhrurazi merancang untuk mengikat tali pertunangan selepas majlis kahwin adik saya selesai tahun depan. Sifatnya cukup disenangi ahli keluarga kerana sangat pemurah dan sangat menyanyangi dan sering dahulukan ibu,” katanya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















