Anggota bomba mengeluarkan mangsa tersepit dalam kemalangan di kawasan persimpangan LRA Semanggar di Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Dua pemandu kereta maut dalam kemalangan di kawasan persimpangan Loji Rawatan Air (LRA) Semanggar di sini hari ini.

Kemalangan kira-kira pada pukul 7 pagi itu mengorbankan seorang pengurus pasar raya Mohd Fakhrurazi Muda, 37, dan Intan Yuliana Sahir, 47.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Shahrulnizam Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 7.09 pagi.

Susulan itu katanya, seramai enam anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian yang jaraknya 20 kilometer.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang wanita dengan sebuah Perodua Bezza yang dipandu seorang lelaki.

“Kereta Perodua Bezza itu dikatakan dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya ketika kejadian sebelum kemalangan dengan Toyota Vios berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas.

Kedua-dua mangsa  disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan yang hadir di lokasi kejadian.

Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, katanya.

Tambah beliau, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.04 pagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast