KENYATAAN Peguambela dan peguamcara, Nik Saiful Adli Burhan berkenaan isu hukuman bagi kesalahan seks suka sama suka.

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya penggubal undang-undang menilai semula had umur rogol statutori berdasarkan realiti semasa.

Peguam bela dan peguam cara, Nik Saiful Adli Burhan berkata, lazimnya perempuan di Malaysia mencapai akil baligh seawal umur 10 tahun dan pada tahap itu ramai yang sudah mampu berfikir secara matang.

Sehubungan itu adalah tidak masuk akal apabila seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang cukup akal untuk menimbang baik buruk perbuatannya tetap dianggap mangsa secara mutlak dan automatik oleh undang-undang.

Sebagai alternatif, tambah beliau, undang-undang sepatutnya mengasingkan kes rogol yang berlaku secara rela dengan kes yang melibatkan paksaan.

“Had umur rogol statutori juga wajar dipertimbangkan untuk diturunkan kepada 14 tahun agar lebih realistik dengan tahap kematangan remaja hari ini.

“Sama seperti kebolehterimaan saksi kanak-kanak di mahkamah, tahap kematangan seseorang mangsa bawah umur sepatutnya dinilai oleh hakim bukan ditentukan semata-mata oleh angka umur,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Semalam, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mencadangkan agar perempuan yang terbabit dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.

Menurut Mohd Yusoff, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di Kelantan adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.

Sementara itu, Nik Saiful Adli berkata, berdasarkan pengalaman sebagai pengamal undang-undang jenayah lebih sedekad, boleh dikatakan kebanyakan kes rogol bawah umur bermula daripada hubungan seks suka sama suka antara pasangan remaja.

Ujarnya, kebanyakan kes bukanlah berpunca daripada aduan mangsa sendiri sebaliknya dilaporkan oleh ibu bapa dan keluarga setelah ‘kantoi’ melakukan hubungan seks atau dikesan melalui laporan pihak hospital apabila berlaku kehamilan.

Sehubungan itu, jelas beliau, masyarakat perlu memahami bahawa istilah ‘rogol’ dalam banyak kes bukan rogol yang melibatkan serangan ganas atau paksaan sebaliknya ia ditafsirkan sebagai rogol statutori (statutory rape).

Menurut undang-undang, seorang perempuan yang berusia di bawah umur tertentu dianggap sebagai mangsa walaupun dia sendiri memberi kerelaan.

Ujarnya, dua undang-undang utama yang terpakai ialah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang meletakkan had umur bawah 16 tahun, dan Seksyen 2(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang menetapkan had umur bawah 18 tahun.

“Dalam keadaan ini, walaupun polis mengetahui sesuatu kes berlaku secara suka sama suka antara pasangan kekasih, mereka tidak mempunyai kebebasan untuk mempertimbangkan kerelaan mangsa.

“Ini kerana undang-undang sedia ada secara total menolak apa-apa pembelaan berkaitan kerelaan apabila mangsa berumur di bawah 16 tahun.

“Situasi ini menimbulkan dilema penguatkuasaan kerana undang-undang tidak memberi ruang budi bicara kepada polis mahupun mahkamah,” katanya.

Dalam masa sama, Nik Saiful Adili berpandangan, penyelesaian kepada masalah itu tidak boleh dicapai hanya dengan menghukum lelaki yang dituduh rogol.

Sebaliknya jika terbukti perbuatan itu berlaku secara rela, kedua-dua pihak wajar diambil tindakan oleh pihak berkuasa agama melalui Mahkamah Syariah di bawah kesalahan zina.

Sehubungan itu kerjasama yang lebih erat perlu diwujudkan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Negeri agar kes yang tidak dapat didakwa sebagai rogol masih boleh dibawa ke muka pengadilan syariah sebagai pengajaran bukan sahaja untuk pesalah tetapi untuk masyarakat.

“Saya ingin menegaskan apa jua pindaan undang-undang yang dicadangkan mestilah berteraskan tujuan utama undang-undang itu sendiri, iaitu untuk mendidik, mengawal dan memastikan kesejahteraan masyarakat.

“Undang-undang tidak boleh dilihat hanya sebagai alat menghukum, sebaliknya sebagai mekanisme mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menjaga maruah diri dan kesejahteraan umum,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast