BATU KAWAN – Penekanan khusus akan diberikan kepada industri semikonduktor menerusi Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober ini, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, kerajaan melihat sektor itu sebagai nadi penting ekonomi negara dan akan memastikan sokongan berterusan diberikan, sejajar dengan aspirasi di bawah Strategik Semikonduktor Nasional (NSS).
“Jadi dari segi kerajaan, kita punyai peranan bagaimana untuk merancakkan, mendalami, menyokong perkembangan industri ini pada masa hadapan.
“Saya rasa dalam Belanjawan ini, kita akan bagi penekanan yang lebih kepada industri-industri yang penting seperti semikonduktor dan InsyaAllah mungkin ada berita yang akan menunjuk komitmen kerajaan macam mana nak merancakkan lagi segmen ini tapi saya tak melangkaui bos saya (Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk memperincikannya ,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Program Jelajah Belanjawan 2026 bersama pemain industri semikonduktor di sini hari ini.
Program Jelajah Belanjawan 2026 ini merupakan siri ketujuh di peringkat negeri dan akan diteruskan ke Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka pada minggu depan.
Beliau yang juga pemangku Menteri Ekonomi berkata, sesi libat urus bersama pemain industri hari ini membolehkan kerajaan menerima pelbagai cadangan untuk memperkukuh ekosistem semikonduktor, termasuk usaha mendalami dan melebarkan rantaian nilai.
“Pendekatan kerajaan bukan sahaja menekankan peningkatan pelaburan semata-mata, sebaliknya memberi fokus kepada usaha meningkatkan kerumitan atau kompleksiti dalam sektor berkenaan agar Malaysia kekal relevan dalam rantaian bekalan global.
“Kerumitan itu bukan bermakna kita nak menyusahkan tetapi kita nak meningkatkan kompleksiti yang ada dalam industri ini kerana apabila kompleksiti naik, ekosistem kita lebih meluas, peluang yang kita ada juga akan meningkat serta peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia juga akan berkembang,” katanya.
Mengenai cabaran tarif Amerika Syarikat terhadap industri semikonduktor, Amir Hamzah menjelaskan kebanyakan pemain industri di Malaysia berasal dari negara Barat dan masih kekal optimis dengan pelaburan sedia ada.
“Kalau kita tengok dalam tarif yang diperkenalkan oleh Amerika Syarikat, ada pengecualian yang diberikan kepada sektor, terutama kepada mereka yang telah melabur balik kepada Amerika Syarikat.
“Yang penting, kita mempunyai pemain industri tempatan yang kukuh, bakat tenaga kerja yang baik dan Malaysia sentiasa menjadi pembekal yang boleh dipercayai di mata dunia. Insya-Allah, kelebihan ini akan membantu kita pada masa depan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, penyediaan belanjawan kini berada pada peringkat memperhalusi cadangan impak daripada kumpulan fokus selepas perbincangan dengan kementerian, agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri selesai sebelum ini. – MalaysiaGazette















