KUALA LUMPUR – Padah menyamar sebagai anggota polis dengan menggunakan pistol tiruan untuk memeras ugut mangsa, tiga suspek ditahan dalam kejadian di Jalan Kampung Pasir, Pantai Dalam, di sini hari ini.
Ketua Polis Daaerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, sepasukan angota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) telah mengesan empat lelaki dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 3.30 pagi.
“Berdasarkan laporan, mangsa memaklumkan tiga suspek yang berusia antara 26 hingga 35 tahun telah mengacukan sepucuk pistol serta merampas kad pengenalan dan dompet miliknya.
“Ketiga-tiga suspek kemudian bertindak melarikan diri dengan menaiki motosikal namun berjaya ditahan oleh anggota yang bertindak pantas di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya turut merampas sepucuk pemetik api berbentuk pistol, dua motosikal jenis Yamaha LC V8 dan Honda RS 150 serta beberapa barangan peribadi mangsa.
“Kumpulan ini telah bergiat aktif kira-kira enam bulan lalu dan modus operandi mereka adalah menyasarkan penunggang motosikal atau individu bersendirian dengan menyamar sebagai anggota polis.
“Suspek kemudian akan menunjukkan pistol tiruan kepada mangsa dan melakukan pemerasan wang tunai atau barangan peribadi serta mengugut untuk ke balai polis jika enggan menyerahkan,” ujarnya.
Chang Hook menambah, siasatan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan masih dikehendaki bersabit Akta Dadah Berbahaya 1952.
Berikutan itu katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba memperdaya masyarakat dengan menyamar sebagai anggota polis untuk melakukan jenayah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah boleh menyalurkan terus ke Hotline Polis Daerah Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kontinjen Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette
















