Johari Shukri Jamil berucap pada Majlis Pelancaran UDA Signature Dreams di Residensi 38 Bangsar.
KUALA LUMPUR – UDA Holdings Berhad (UDA) melancarkan kempen hartanah ‘UDA Signature Dreams’ yang menawarkan hadiah lumayan sehingga RM250,000 bagi merealisasikan impian memiliki rumah idaman di sekitar Lembah Klang.
Menerusi anak syarikatnya, UDA Land Sdn Bhd. memperkenalkan empat projek  – Dedaun Residensi di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras,  Residensi 38 Bangsar, Legasi Kampong Bharu dan  Residensi Akasia Raya di Kuala Lumpur.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil berkata, kempen hartanah ‘UDA Signature Dreams’ yang bermula hari ini sehingga 31 Disember ini merupakan inisiatif khas bagi menggalakkan pemilikan hartanah khususnya dalam kalangan bumiputera di kawasan strategik di bandar raya.
Menurut beliau, usaha ini secara langsung menyokong aspirasi kerajaan dalam memperluas pemilikan rumah khususnya di kawasan bandar seterusnya mengukuhkan pertumbuhan sektor hartanah yang inklusif dan berdaya saing.
“UDA berharap inisiatif ini dapat merancakkan pasaran serta jualan hartanah, seterusnya meningkatkan keyakinan terhadap jenama UDA sebagai pemaju berwibawa yang sentiasa menawarkan nilai dan keistimewaan terbaik kepada pembeli,” katanya.
Sepanjang kempen hartanah ‘UDA Signature Dreams’, pelbagai insentif istimewa disediakan, antaranya deposit rendah, pengecualian bayaran perjanjian jual beli serta duti setem dan pakej kelengkapan rumah, tertakluk kepada terma dan syarat mengikut projek yang ditawarkan.
Selain itu, setiap pembelian rumah dalam tempoh kempen turut melayakkan pembeli menyertai cabutan bertuah ‘UDA Signature Dreams’.
Hadiah utama berupa dua tiket untuk menyaksikan Piala Dunia 2026 termasuk tiket penerbangan dan penginapan bernilai sehingga RM150,000 serta pelbagai peralatan rumah berjumlah sehingga RM100,000 untuk dimenangi.
Menurutnya, UDA kini terus giat membangunkan pelbagai projek yang berdaya saing, moden serta mampu milik di sekitar Pantai Timur, Johor, Utara dan Sarawak demi merealisasikan impian memiliki rumah idaman untuk semua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast