Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Pelarasan subsidi petrol di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) tidak sepenuhnya menggunakan data dalam Pangkalan Data Utama (PADU).

Ia kerana, menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pelaksanaan BUDI95 tidak memerlukan kriteria kelayakan yang kompleks sebaliknya hanya perlu dipastikan warga Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu yang sah.

Bagaimanapun sebagai sistem yang mempunyai data lengkap penduduk, sistem PADU disifatkan amat berguna dan membantu kerajaan dalam membuat analisis-analisis tertentu.

“Selain itu, terdapat juga permintaan daripada agensi-agensi dan kementerian lain untuk membuat pengesahan atau analisis tertentu menggunakan data yang disimpan dalam sistem PADU.

“Kita juga sudah guna data dalam sistem PADU dalam membuat polisi-polisi kerajaan dan Kementerian Kewangan pun kita gunakan untuk buat pengesahan tertentu, jadi lebih banyak kesilapan dapat kita kurangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi taklimat media berhubung pelaksanaan inisiatif BUDI95 di Menara KWSP di sini hari ini.

Sebelum ini, beberapa pihak mempersoalkan matlamat pembangunan sistem PADU yang menelan belanja mencecah kira-kira RM85 juta selepas sistem itu dikatakan akan menjadi rujukan utama dalam pelaksanaan pelarasan subsidi RON95.

Namun berdasarkan kelayakan menerusi inisiatif BUDI95, kesemua rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah tanpa mengira latar belakang ekonomi layak mendapat subsidi RON95.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, inisiatif BUDI95 tidak akan menyebabkan lonjakan harga barang memandangkan kenderaan perdagangan masih menikmati subsidi petrol di bawah kategori tertentu.

Dalam masa sama pelaksanaan BUDI95 turut mengambil pendekatan sama seperti pelaksanaan pelarasan diesel sebelum ini termasuk perlu mendaftar menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi menikmati manfaat subsidi petrol RON95.

“Untuk sektor logistik yang berkaitan, kita telah mengenal pasti kenderaan yang layak mendapatkan fleet card untuk membeli petrol pada harga semasa iaitu RM2.05 sen, maka tidak ada sebab kenaikan harga akan berlaku pada sektor logistik.

“Dari segi penggunaan petrol dalam sektor logistik dan sektor awam juga hanya melibatkan kira-kira 100,000 kenderaan, ia tidak meluas seperti sektor lain,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast