JERANTUT – Ekspedisi amal Cave Out Cancer anjuran Majlis Kanser Nasional (MAKNA) telah berjaya mengumpul dana untuk membantu pesakit kanser kurang berkemampuan.
Ketua Projek Cave Out Cancer, Ilham Hafifi berkata, ekspedisi yang mencabar itu menyaksikan seramai 16 sukarelawan termasuk dua pejuang kanser merentasi dua lokasi gua yang ikonik di Malaysia.
Fasa pertama berlangsung di Racer Cave dan Stone Horse Cave, Mulu dari 11 hingga 14 September 2025.
“Para peserta kemudiannya meneruskan cabaran di Gua Kota Gelanggi dari 19 hingga 21 September 2025. “Kami berasa amat terharu dengan dedikasi setiap peserta terutamanya dua pejuang kanser kami.
“Keberanian dan semangat mereka adalah inspirasi terbesar, menunjukkan kanser bukanlah penghalang untuk terus berjuang,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Ilham, para peserta lain turut berkongsi pengalaman menyertai misi memberi impak emosi yang mendalam, mengukuhkan lagi matlamat ekspedisi berkenaan.
“Bagi mereka lain rasanya apabila berjaya menempuh laluan ini untuk setiap pejuang kanser sebagai peringatan walaupun di saat hidup terasa gelap, sinar harapan pasti akan tiba,” katanya.
Semua dana yang dikumpul akan disalurkan sepenuhnya kepada MAKNA untuk membantu pesakit kanser yang memerlukan.
Orang ramai yang ingin menyokong usaha murni itu masih boleh membuat sumbangan menerusi laman web rasmi MAKNA atau melalui media sosial MAKNA.
Cave Out Cancer 2025 adalah bukti semangat juang dan kerjasama, kita boleh memberi sinar harapan kepada mereka yang memerlukan. – MalaysiaGazette
















