KUALA LUMPUR – Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 dijangka menyaksikan penglibatan terbesar penduduk negara ini dalam agenda kebersihan nasional.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan dua rekod baharu Malaysia Book of Records.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, dua rekod berkenaan ialah penyertaan gotong-royong serentak teramai dengan sasaran 100,000 peserta di seluruh negara serta pengumpulan minyak masak terpakai terbanyak, sekurang-kurangnya 3,000 kilogram dalam sehari.
“Setiap satu kilogram minyak masak terpakai boleh dijual pada harga antara RM2 hingga RM3.50 bergantung kepada kualiti dan lokasi.
”Inisiatif ini bukan sahaja menggalakkan kitar semula minyak masak, malah memastikan ia dapat dijana semula menjadi biodiesel sebagai tenaga boleh diperbaharui,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pra-pelancaran Hari Cuci Malaysia 2025 di Pasar Seni, di sini, hari tadi.

Menurut Kor Ming, Hari Cuci Malaysia kini sudah setaraf dengan Hari Sukan Nasional daripada segi skala dan penglibatan masyarakat.
“Program ini adalah gerakan nasional kebersihan berkonsepkan seluruh negara, melibatkan kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi pendidikan, syarikat perumahan dan pembersihan, syarikat swasta, NGO serta orang awam,” katanya.
Penganjuran peringkat kebangsaan akan berlangsung di Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 27 September, manakala program serentak akan dilaksanakan di pelbagai lokasi lain di seluruh negara.
Program ini selaras dengan sambutan World Clean Up Day anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setiap 20 September, bagi menangani isu pencemaran sisa dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kebersihan.
Edisi pertama Hari Cuci Malaysia pada 2024 yang dilancarkan di Pasar Seni berjaya mencatatkan tiga rekod dalam Malaysia Book of Records penyertaan serentak teramai seramai 58,007 peserta, kutipan 4,645.50 metrik tan sisa pepejal dalam sehari, serta operasi gotong-royong tanpa henti selama 12 jam.
Rakyat Malaysia boleh mendaftar untuk menyertai program ini melalui kod QR yang diedarkan oleh pihak berkuasa tempatan, manakala pendaftaran manual turut disediakan bagi mereka yang tidak mempunyai telefon pintar.
Antara aktiviti utama HCM 2025 ialah pembersihan kawasan awam, senamrobik, kitar semula, pameran, kempen kesedaran kebersihan, cabutan bertuah serta pelbagai aktiviti komuniti.
Program ini bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan kebersamaan, tetapi juga memperkukuh komitmen Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar, sejajar aspirasi global menangani pencemaran sisa.
“Marilah kita turun padang bersama-sama. Dari Pasar Seni ke seluruh pelusuk negara, hanya dengan kebersamaan rakyat Malaysia di setiap lapisan, budaya kebersihan boleh benar-benar menjadi amalan nasional,” katanya. – MalaysiaGazette
















