Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir meninjau operasi harian di Kaunter Kad Pengenalan, Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 23 SEPTEMBER 2025

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersedia menambah waktu operasi kaunter bagi penggantian cip MyKad yang rosak sekiranya ada keperluan susulan pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) .

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu wajar bagi memastikan urusan penukaran cip MyKad yang rosak berjalan lancar selain dapat mengurangkan masalah pada hari pelaksanaan BUDI95 bermula 30 September depan.

“Kita tak ada had (pemberian nombor giliran untuk menggantikan MyKad), bahkan saya beritahu dengan pekerja JPN kalau kerana pengumuman ini (BUDI95), lebih ramai orang berurusan kalau perlu tambah masa, perlu tambah.

“Sebenarnya (penambahan waktu operasi) itu praktis (yang diamalkan JPN),” katanya dalam sidang media selepas membuat tinjauan pelaksanaan hari pertama penggantian cip MyKad yang rosak secara percuma, hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, setakat ini purata penggantian MyKad bagi kerosakan cip adalah kira-kira 40,000 permohonan sebulan berbanding 30,000 sebelum ini.

Tambah beliau, JPN juga komited memastikan stok MyKad mencukupi.

“Saya mengambil peluang ini untuk kesian kalinya menggesa orang ramai gunakan julat masa yang kami umumkan ini, iaitu hari ini sehingga 7 Oktober depan.

“(Rakyat) ada masa yang munasabah untuk memastikan pertama cip pada Mykad kita itu masih berfungsi dan yang kedua kalau diketahui cip itu rosak maka segera Ke pejabat JPN.

“Kalau datang dalam tempoh sekarang hingga 7 Oktober depan untuk tujuan penggantian cip Mykad yang rosak, tidak dikenakan sebarang bayaran. Apapun penggantian MyKad itu adalah satu keperluan sebab kita tinggal lebih kurang seminggu saja lagi (pelaksaan BUDI95),” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, urusan penukaran cip MyKad di Ibu Pejabat JPN, JPN negeri dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) siap dalam masa sehari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast