KUANTAN – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mencatatkan rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) melalui Program Tanaman Pokok Hutan Paya Gambut Terbesar di Malaysia dengan penanaman sebanyak 20,000 pokok di Hutan Simpan Pekan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata Pahang boleh berbangga kerana masih mengekalkan kawasan berhutan seluas 2.057 juta hektar, iaitu lebih 57 peratus daripada keluasan negeri.
Daripada jumlah itu, 1.596 juta hektar telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) dan lebih 397,000 hektar diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air.
“Sambutan pada kali ini cukup bermakna kerana ia menzahirkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memelihara khazanah hutan Pahang yang bertemakan “Forests and Foods” atau “Hutan dan Makanan”.
“Ia menekankan peranan hutan sebagai sumber nutrisi, penampan ekologi, serta penentu keterjaminan makanan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur yang berlangsung di Dataran Pekan Bandar Diraja, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Wan Rosdy menanam pokok ke 12 juta di Pahang di bawah Kempen Penghijauan Malaysia: 100 Juta Pokok 2021–2025, menjadikan negeri ini antara penyumbang utama kepada pencapaian nasional. – MalaysiaGazette
















